“Tuhan menangis.” Itulah kata-kata yang dibisikkan oleh anak perempuan Bill Haley yang berusia 10 tahun ketika dia berdiri di bawah hujan bersama sekumpulan orang Kristian yang berbilang etnik. Mereka datang ke Lembah Shenandoah di Virginia untuk mencari Tuhan dan memahami asal-usul pertikaian antara kaum di Amerika. Ketika mereka berdiri di tempat pengebumian bekas hamba-hamba kulit hitam, mereka berdoa bersama-sama. Kemudian tiba-tiba angin mula bertiup dan hujan. Ketika pemimpin itu mendoakan perdamaian antara kaum, hujan mula turun dengan lebih lebat. Mereka yang berkumpul percaya bahawa Tuhan sedang bekerja untuk membawa perdamaian dan pengampunan.

Begitu juga di Golgota—Tuhan bekerja. Setelah Yesus yang disalibkan menghembuskan nafas terakhirnya, “Bumi bergoncang, gunung batu terbelah, kubur terbuka” (Matius 27:51–52). Meskipun ada yang menyangkal Yesus, seorang ketua askar yang ditugaskan untuk mengawal Dia menyedari satu kesimpulan yang berbeza: “Apabila ketua askar dan askar-askar … nampak gempa bumi dan segala perkara yang berlaku, mereka ketakutan. Mereka berkata, ‘Dia betul-betul Anak Allah!’ ” (ayat 54).

Dalam kematian Yesus, Tuhan bekerja dan memberikan pengampunan dosa bagi semua orang yang percaya kepada-Nya. “Melalui Kristus, Allah menjadikan semua orang sahabat-Nya. Dengan rela hati Allah mengampunkan dosa mereka” (2 Korintus 5:19). Cara yang terbaik untuk menunjukkan bahawa kita telah diampuni Tuhan adalah saling mengampuni.