Pada Hari Chicago, Oktober 1893, teater kota itu ditutup kerana pemiliknya menganggap semua orang akan menghadiri Pameran Sedunia. Lebih daripada 700 ribu orang pergi, tetapi Dwight Moody (1837–1899) ingin mengisi sebuah dewan muzik di bahagian lain kota Chicago dengan khutbah dan ajaran Tuhan. Rakannya R. A. Torrey (1856–1928) tidak percaya bahawa Moody dapat menarik orang ramai pada hari yang sama dengan pameran tersebut. Tetapi dengan rahmat Tuhan, dia berjaya. Seperti yang disimpulkan oleh Torrey kemudian, orang ramai datang kerana Moody tahu “satu-satunya Kitab yang harus diketahui oleh dunia ini sejak awal—Alkitab.” Torrey rindu melihat orang lain juga mencintai Alkitab seperti Moody, membacanya secara tetap dengan penuh dedikasi dan semangat.

Tuhan melalui Roh-Nya membawa orang kembali kepada diri-Nya pada akhir abad ke-19 di Chicago, dan Dia terus berbicara pada hari ini. Kita dapat mengasihi Tuhan dan mencintai Alkitab seperti pemazmur ketika dia berseru, “Betapa manisnya peraturan-Mu; lebih manis daripada madu” (Mazmur 119:103). Bagi pemazmur, perkhabaran tentang rahmat dan kebenaran Tuhan berperanan sebagai pelita yang memimpinnya, dan cahaya yang menerangi jalannya (ayat 105).

Bagaimanakah anda dapat semakin mengasihi Penyelamat dan perkhabaran-Nya? Ketika kita membenamkan diri dalam Alkitab, Tuhan akan membangkitkan pengabdian kita kepada-Nya dan membimbing kita, menyinari cahaya-Nya di sepanjang jalan yang kita tempuhi.