Ketika suami saya berjalan-jalan di pantai berbatu sambil mengambil gambar ufuk di Hawaii, saya pula duduk keresahan di atas batu besar memikirkan kemerosotan kesihatan yang saya alami lagi. Walaupun pelbagai cabaran sedang menanti apabila saya pulang rumah nanti, ketenanganlah yang saya perlukan pada ketika itu. Saya merenung ombak yang tidak henti-henti menghempas batu-batu hitam yang bergerigi di pantai itu. Bayangan gelap dalam gelombang ombak telah menarik perhatian saya. Dengan menggunakan fungsi zum kamera, rupanya bayangan itu ialah seekor penyu laut yang sedang meluncuri ombak dengan tenang. Kaki siripnya berdepang dan tidak bergerak langsung. Lalu saya tersenyum sambil membiarkan bayu masin menyentuh wajah saya.
“Semua makhluk syurga memuji perbuatan [TUHAN] yang ajaib” (Mazmur 89:6). Tuhan kita yang tiada tandingannya “memerintah laut yang bergelora, Dia “menenangkan ombak yang melambung hebat” (ayat 10). Bumi dan langit milik-Nya, dunia dan segala isinya ciptaan-Nya (ayat 12). Dia menciptakan semuanya, memiliki semuanya, menguruskan semuanya, dan memaksudkan semuanya demi kemuliaan-Nya serta kenikmatan kita.
Dengan berdiri teguh pada asas iman kita—kasih Bapa kita yang tidak berubah—kita dapat “hidup dalam cahaya hadirat[-Nya]” (ayat 16). Tuhan tetap berkuasa dan penuh belas kasihan. Sepanjang hari kita bergembira dan memuji-Nya (ayat 17). Tidak kira apa rintangan yang kita hadapi atau berapa banyak kesusahan yang harus kita tempuhi, Tuhan mendukung kita ketika ombak naik dan turun.