Kebanyakan anak muda bangsa Samoa mencacah tatu untuk menandakan tanggungjawab mereka kepada kaum dan ketua bangsa mereka. Maka, tatu menutupi seluruh lengan anggota pasukan ragbi lelaki Samoa. Namun, apabila pasukan tersebut pergi ke Jepun, mereka menyedari bahawa simbol tatu itu membawa konotasi negatif dan ia akan menimbulkan ketidakselesaan kepada tuan rumah mereka. Sebagai tanda persahabatan, pasukan Samoa pun mengenakan sarung lengan berwarnakan kulit untuk menutupi corak tatu mereka. “Kami menghormati dan peka terhadap adat dan budaya orang Jepun,” jelas ketua pasukan. “Kami akan memastikan bahawa penampilan kami baik-baik saja.”
Pada zaman yang menitikberatkan penonjolan individu, betapa istimewanya untuk menunjukkan pembatasan diri—satu konsep yang ditulis oleh Paulus dalam kitab Roma. Dia memberitahu kita bahawa kasih kadang-kadang menghendaki kita melepaskan hak kita demi orang lain. Kita tidak patut menuntut kebebasan yang seboleh-bolehnya demi bertindak mengikut gerak hati, tetapi kadangkala kita membatasi diri kerana kasih. Rasul Paulus menjelaskan bagaimana sesetengah orang di gereja berpendirian bahawa mereka bebas untuk “makan apa sahaja”, tetapi ada pula yang “hanya makan sayur-sayuran” (Roma 14:2). Walaupun perkara ini mungkin kelihatan satu isu remeh-temeh, soal kepatuhan kepada hukum pemakanan dalam Perjanjian Lama dipertikaikan pada abad pertama. Paulus menyuruh semua orang supaya “janganlah kita salahkan satu sama lain” (ayat 13), dan menasihati mereka yang bebas makan. “Lebih baik tidak makan daging, atau minum wain, atau melakukan apa sahaja yang akan menyebabkan seorang saudara seiman berdosa” (ayat 21).
Ada masanya, mengasihi orang lain bermaksud membatasi kebebasan kita sendiri. Kita tidak perlu selalu melakukan semua perkara yang bebas dilakukan. Kadangkala kita harus membatasi diri kerana kasih.