Saya sedang meninjau-ninjau perpustakaan di tingkat bawah sebuah pusat komuniti yang baru ketika dentuman kuat dari lantai tingkat atas tiba-tiba menggoncangkan perpustakaan. Beberapa minit kemudian, dentuman itu berulang dua kali. Seorang pustakawan yang terganggu akhirnya menjelaskan bahawa satu ruang punggah terletak tepat di atas perpustakaan dan kebisingan itu berlaku setiap kali seseorang memunggah sesuatu yang berat. Arkitek dan pereka secara teliti telah merancang kemudahan yang canggih lagi terkini ini dari banyak aspek, namun mereka terlupa untuk menempatkan perpustakaan di lokasi yang jauh daripada semua kegiatan yang menimbulkan kebisingan.

Dalam kehidupan juga, rancangan kita sering tidak sempurna. Kita sering terlepas pandang beberapa pertimbangan yang penting. Rancangan kita sering tidak mengambil kira kemalangan atau kejutan yang mungkin berlaku. Walaupun perancangan membantu kita mengelakkan kesempitan kewangan, kekangan masa dan soal kesihatan, namun strategi yang begitu teliti sekalipun tidak dapat melenyapkan masalah daripada kehidupan kita. Kita hidup pada zaman pasca-Taman Eden.

Dengan pertolongan Tuhan, kita dapat mencari keseimbangan antara merancang masa depan secara berhemat (Amsal 6:6–8) dan menangani kesulitan. Tuhan sering mempunyai tujuan tertentu untuk masalah yang diizinkan-Nya dalam hidup kita. Dia mungkin menggunakannya untuk memupuk kesabaran dalam diri kita, untuk menguatkan iman kita, atau hanya untuk mendekatkan kita kepada-Nya. Alkitab mengingatkan kita, “Manusia mempunyai banyak rancangan, tetapi hanya kehendak TUHAN akan terlaksana” (Amsal 19:21). Apabila kita menyerahkan tujuan hidup dan harapan bagi masa depan kepada Yesus, Dia akan menunjukkan kepada kita apa yang ingin dicapai-Nya dalam kita dan melalui kita.