Nama pemuda itu Spencer. Tetapi semua orang memanggilnya “Spence.” Dia merupakan juara lumba lari peringkat negeri sewaktu di sekolah tinggi, kemudian dia melanjutkan pelajaran di sebuah universiti berprestij dengan biasiswa akademik penuh. Sekarang dia tinggal di salah sebuah bandar terbesar di Amerika dan sangat dihormati dalam bidang kejuruteraan kimia. Bagaimanapun sekiranya anda bertanya kepada Spence tentang pencapaiannya yang terbesar setakat ini, dia tidak akan bercakap tentang semua itu. Dia akan bercerita dengan terujanya tentang lawatan-lawatan yang dilakukannya setiap beberapa bulan ke Nicaragua untuk memperhatikan keadaan beberapa orang kanak-kanak dan guru dalam program bimbingan yang telah dimulakan dengan bantuannya di salah sebuah daerah termiskin di negara itu. Dia akan memberitahu anda betapa hidupnya telah diperkaya dengan melayani mereka.

Ungkapan “walaupun dia hina” digunakan orang dalam pelbagai aspek. Yesus menggunakannya untuk menggambarkan mereka yang tidak berkemampuan atau tidak dapat memberikan apa-apa untuk membalas pertolongan, menurut ukuran dunia. Golongan ini merujuk kepada lelaki, perempuan dan kanak-kanak yang kerap tidak dipedulikan ataupun dilupakan sama sekali oleh dunia. Namun demikian, status mereka inilah yang dinaikkan oleh Yesus sewaktu Dia berfirman, “Ketahuilah, manakala kamu melakukan perkara itu [untuk mereka], … kamu telah melakukannya untuk-Ku” (Matius 25:40). Anda tidak perlu memiliki ijazah dari universiti berprestij untuk memahami maksud Yesus; melayani yang hina samalah dengan melayani-Nya. Apa yang sebenarnya diperlukan cuma hati yang rela.