Berhampiran kaki Gunung Himalaya, seorang pengunjung memperhatikan sederet rumah yang tiada tingkap. Pemandunya menjelaskan bahawa sesetengah penduduk kampung takut akan roh jahat yang mungkin akan menyelinap masuk ke dalam rumah ketika mereka sedang tidur, jadi mereka membina dinding dengan bahan yang tidak telap. Anda dapat tahu seseorang pemilik rumah percaya kepada Yesus jika dia memasang tingkap supaya cahaya dapat masuk ke dalam rumah.
Keadaan yang serupa mungkin terjadi pada kita, walaupun kita mungkin tidak menyedarinya. Kita hidup pada zaman yang sangat menakutkan lagi banyak pertentangan. Iblis dan roh-roh jahat menghasut amarah dan perbalahan yang memisahkan keluarga serta sahabat. Saya selalu teringin untuk bersembunyi di sebalik tembok saya. Akan tetapi, Yesus mahu saya memasang tingkap.
Israel mencari perlindungan di sebalik tembok yang tinggi, tetapi Tuhan berfirman bahawa perlindungan mereka sebenarnya ada pada Dia. Dia memerintah dari syurga, dan firman-Nya mengatur semua perkara (Yesaya 55:10-11). Sekiranya Israel kembali kepada-Nya, Tuhan akan “berbelas kasihan” kepada mereka (ayat 7) dan memulihkan mereka sebagai umat-Nya untuk memberkati dunia (Kejadian 12:1-3). Dia akan meninggikan mereka dan akhirnya memimpin mereka melangkah dalam perarakan kemenangan. Kemenangan itu akan diraikan “sebagai tanda yang kekal, peringatan bahawa Aku, TUHAN, telah melakukannya” (Yesaya 55:13).
Kadangkala tembok diperlukan, tetapi tembok yang bertingkap adalah yang terbaik. Itu menyatakan kepada dunia bahawa kita percaya dan berharap kepada Tuhan untuk masa depan kita. Ketakutan kita memang nyata. Tuhan kita jauh lebih besar lagi. Tingkap membuka jiwa kita kepada Yesus, yakni “cahaya bagi dunia” (Yohanes 8:12)—dan orang lain yang memerlukan-Nya.