Lucy Worsley seorang sejarawan British dan penyampai televisyen. Sebagaimana dengan kebanyakan orang di mata umum, kadang-kadang dia menerima surat yang tidak menyenangkan —berkaitan dengan sedikit kecacatan pertuturannya yang menyebabkan sebutan bunyi ‘r’ kedengaran seperti ‘w’. Seorang penonton menulis begini: “Lucy, biar saya berterus terang: Berusahalah lebih keras untuk membetulkan sebutan anda atau jangan ada bunyi ‘r’ langsung dalam skrip anda—saya tidak sanggup menonton siri rancangan televisyen anda hingga tamat kerana ini membuat saya naik radang. Salam daripada Darren.”

Bagi sesetengah orang, komen yang menyakiti hati seperti itu boleh mencetuskan balasan yang sama-sama pedas. Bagaimanapun, beginilah cara Lucy membalasnya: “Hai Darren, harap-harap anda boleh mempertimbangkan kata-kata anda yang kurang menyenangkan itu sebelum mengeluarkannya, kerana ia amat menyakiti hati saya. Daripada Lucy.”

Respons Lucy yang difikirkannya dengan masak-masak itu berkesan. Darren meminta maaf dan berjanji tidak akan mengirim e-mel seperti itu lagi kepada sesiapa pun.

Kitab Amsal berkata, “Jawapan yang lembut meredakan kemarahan, sedangkan kata-kata yang pedas membangkitkan amarah” (15:1). “Orang yang cepat marah menimbulkan pertengkaran, tetapi orang yang sabar mendatangkan perdamaian” (ayat 18). Apabila kita menerima kritikan rakan sekerja, cemuhan daripada anggota keluarga, atau jawapan kasar daripada orang yang tidak dikenali, kita mempunyai pilihan: mengucapkan kata-kata marah yang akan mengeruhkan keadaan lagi atau kata-kata lembut yang meredakan keadaan.

Semoga Tuhan menolong kita mengucapkan kata-kata yang dapat meredakan amarah—bahkan menolong orang yang cerewet untuk berubah.