Dalam pasukan bola tampar di universitinya, cucu perempuan saya mempelajari satu prinsip kemenangan. Apabila bola datang ke arahnya, tidak kira apa-apa keadaan pun, dia akan menghasilkan “tamparan bola yang lebih baik”. Dia dapat mewujudkan keadaan yang lebih baik dalam pasukannya—tanpa naik marah, menyalahkan orang atau memberikan alasan. Keadaan sentiasa dijadikan lebih baik.

Itulah respons Daniel sewaktu dia dan tiga orang kawan Yahudi ditawan oleh raja Babilonia, iaitu Nebukadnezar. Walaupun mereka diberi nama orang kafir dan diperintahkan untuk menjalani “latihan” selama tiga tahun di istana musuh, Daniel tidak mengamuk. Sebaliknya, dia meminta izin untuk tidak menajiskan dirinya di hadapan Tuhan dengan makanan dan minuman wain yang ditetapkan oleh raja. Seperti yang dinyatakan dalam kisah Alkitab yang menakjubkan ini, setelah makan sayur-sayuran dan minum air sahaja selama 10 hari (Daniel 1:12), Daniel dan kawan-kawannya “kelihatan lebih sihat dan kuat daripada semua pemuda yang makan makanan yang ditetapkan oleh raja” (ayat 15).

Pada waktu yang lain, Nebukadnezar mengugut hendak membunuh Daniel dan semua orang berilmu di istana sekiranya mereka tidak dapat mengulangi dan mentafsirkan mimpi raja yang sangat mengganggunya itu. Sekali lagi, Daniel tidak cemas, tetapi meminta belas kasihan daripada “Allah penguasa di syurga” dan misteri itu dijelaskan kepadanya dalam satu penglihatan (2:19). Seperti apa yang diisytiharkan oleh Daniel tentang Tuhan, “Allah sungguh bijak dan berkuasa!” (ayat 20). Sepanjang penawanannya, Daniel mencari penyelesaian daripada Tuhan meskipun banyak konflik yang dihadapinya. Dalam kesusahan kita sendiri, semoga kita mengikuti teladan itu, untuk menjadikan keadaan lebih baik dengan membawanya kepada Tuhan.