Kini, ada sebuah permainan video yang popular dan menjadi fenomena budaya. 100 orang pemain ditempatkan di sebuah pulau maya untuk bertanding sehingga tinggal seorang pemain sahaja. Setiap kali jika salah seorang pemain menyingkirkan anda daripada pertandingan itu, anda boleh terus menyaksikan pertandingan tersebut dari sudut pandangan pemain itu. Seorang wartawan menulis, “Apabila anda melihat dari sudut pandangan pemain lain, perasaan anda beralih daripada pemeliharaan diri sendiri kepada semangat kesetiakawanan. Anda mula memperhatikan orang yang tidak dikenali dan telah menyingkirkan anda sebentar tadi.”

Transformasi berlaku apabila kita membuka hati untuk melihat pengalaman orang lain, melihat melampaui sudut pandangan kita dan menyelami penderitaan, ketakutan serta harapan orang lain. Apabila kita mengikuti teladan Yesus dan tidak melakukan “sesuatu bagi kepentingan diri sendiri atau hendak menyombongkan diri. Sebaliknya dengan rendah hati, anggaplah orang lain lebih baik daripada diri sendiri,” maka kita akan dapat melihat perkara-perkara yang kita mungkin terlepas pandang (Filipi 2:3). Kerisauan kita bertambah. Kita mengemukakan pertanyaan yang berlainan. Kita tidak lagi asyik memikirkan keperluan dan kerunsingan sendiri tetapi kita akan memperhatikan kebajikan orang lain. Kita tidak lagi hanya menjaga “kepentingan diri sendiri” tetapi akan mengutamakan “kepentingan orang lain” (ayat 4). Kita tidak lagi mempertahankan apa yang dianggap penting untuk kejayaan diri sendiri, tetapi dengan sukacitanya kita akan berikhtiar untuk membantu orang lain bertumbuh.

Dengan sudut pandangan yang mengalami transformasi ini, kita mempunyai belas kasihan untuk orang lain. Kita menemukan cara baru untuk mengasihi keluarga kita. Kita malah dapat menjadikan seorang musuh sebagai sahabat kita!