Dengan 300,000 dolar Amerika Syarikat, anda dapat membeli sebuah kereta lumba McLaren 720S yang baru. Kenderaan ini mempunyai enjin jenis V8 dengan 710 kuasa kuda—jauh melebihi apa yang anda perlukan untuk perjalanan dari rumah ke tempat kerja setiap pagi.

Tentu sahaja anda mungkin teringin sekali hendak memandu kereta yang sekuat itu. Seorang pemandu di Virginia mendapati kereta lumba McLarennya dapat memecut tersangat “laju” sehingga meluru dari ruang pameran kereta mewah ke tempat timbunan besi buruk hanya dalam masa 24 jam! Keretanya melanggar sebatang pokok sehari selepas membelinya. (Syukurlah, dia terselamat).

Dalam 3 fasal Alkitab yang pertama, kita mendapati bagaimana satu pilihan yang salah dan sebatang pokok merosakkan ciptaan Tuhan yang baik. Adam dan Hawa memakan buah daripada satu-satunya pokok terlarang itu (Kejadian 3:11). Kisah baru sahaja bermula dan tanah pun sudah terkutuk (ayat 14-19).

Sebatang pokok yang lain memainkan peranan untuk membatalkan kutukan ini, iaitu kayu salib yang dideritai oleh Yesus bagi pihak kita. Kematian-Nya menjamin masa depan kita bersama dengan Dia (Ulangan 21:23; Galatia 3:13).

Cerita ini kembali ke titik permulaan dalam fasal Alkitab yang terakhir. Kita membaca tentang “pokok sumber kehidupan” yang tumbuh di tepi sungai yang “memberikan hidup” (Wahyu 22:1-2). Seperti yang dihuraikan oleh Yohanes, daun pokok ini digunakan “untuk menyembuhkan bangsa-bangsa” (ayat 2). Dia juga meyakinkan kita bahawa “di dalam kota itu tidak terdapat sesuatu pun yang kena kutuk Allah” (ayat 3). Kisah Tuhan berkesudahan dengan umat-Nya hidup bahagia selama-lamanya, sebagaimana yang kita semua rindukan.