“Ayah, boleh baca buku ini untuk saya?” anak perempuan saya bertanya. Itu bukanlah permintaan yang luar biasa daripada seorang anak kecil kepada ibu atau bapanya. Akan tetapi, anak perempuan saya sudah berumur 11 tahun. Kini, permintaan seperti ini semakin berkurangan berbanding waktu yang dia masih kecil. “Ya, boleh.” Saya menjawabnya dengan senang hati dan dia baring berlingkar dekat saya di atas sofa.
Semasa saya membaca buku The Fellowship of the Ring untuknya, dia sesungguhnya penuh belai manja di sisi saya. Itulah saat yang indah sekali sebagai bapa, ketika kita seolah-olah dapat mengecapi kasih Bapa yang sempurna dan kerinduan-Nya yang mendalam untuk kita berdakap dalam hadirat dan kasih-Nya terhadap kita.
Pada masa itu, saya menyedari saya amat menyerupai anak saya yang berumur 11 tahun. Kebanyakan masa, saya memusatkan perhatian untuk berdikari. Betapa mudahnya untuk melupakan kasih Tuhan kepada kita, iaitu kasih yang lemah lembut dan melindungi kita seperti yang dinyatakan dalam Mazmur 116. “TUHAN itu pengasih dan adil; Allah kita penuh belas kasihan” (ayat 5). Inilah kasih yang menjadikan saya dapat berlingkar dalam pangkuan Tuhan, seperti anak perempuan saya.
Mazmur 116:7 menyarankan kita supaya selalu mengingatkan diri kita akan kasih Tuhan yang baik dan kembali ke pangkuan-Nya: “Aku mesti tenang, kerana TUHAN baik kepadaku.” Sesungguhnya, Tuhan memang baik kepadaku.