Dalam buku Human Universals (Manusia Sejagat) karya Donald Brown, seorang ahli antropologi, dia menyenaraikan lebih daripada 400 kelakuan yang difikirkannya biasa berlaku di kalangan manusia. Antara kelakuan itu ialah permainan, lawak, tarian, peribahasa, kewaspadaan terhadap ular, dan mengikat benda dengan tali! Dia juga yakin bahawa semua kebudayaan memiliki konsep yang membezakan yang benar daripada yang salah: kemurahan hati dipuji, janji dihargai, dan kejahatan seperti pembunuhan dianggap salah. Tidak kira dari mana kita berasal, kita memiliki hati nurani.
Rasul Paulus menyatakan pemikiran yang sama berabad-abad yang lalu. Ketika Tuhan memberi Sepuluh Hukum kepada orang Yahudi untuk membezakan antara benar dan salah, Paulus menyatakan bahawa oleh sebab orang bukan Yahudi mampu melakukan perkara betul dengan menuruti hati nurani mereka, ini bererti Hukum Tuhan amat jelas tertulis di dalam hati mereka (Roma 2:14–15). Tetapi itu tidak bermakna bahawa orang selalu melakukan apa yang benar. Orang bukan Yahudi melakukan sesuatu yang melawan hati nurani mereka (1:32), orang Yahudi pula melanggar Hukum Tuhan (2:17–24), kedua-dua golongan ini sebenarnya bersalah. Tetapi melalui iman kepada Yesus, Tuhan menghapus hukuman maut akibat semua perlanggaran kita terhadap-Nya (3:23–26; 6:23).
Oleh sebab manusia diciptakan dengan kurniaan yang dapat membezakan baik dan buruk, maka setiap kita akan mengalami rasa bersalah terhadap perkara buruk yang telah kita lakukan atau ketika gagal melakukan perkara yang baik. Apabila kita mengakui kesalahan tersebut, Tuhan memadam dosa itu seperti papan putih yang dipadam bersih. Apa yang perlu kita lakukan hanyalah memohon kepada-Nya tidak kira siapa kita atau dari mana kita berasal.