Seorang wanita meletakkan bekas plastik yang berisi kek cawan, kad hari jadi dan pelbagai jenis keropok di kaunter pembayaran. Rambutnya yang terurai menutupi dahinya yang berkerut kerana kepenatan. Anak kecilnya mula minta didukung. Apabila juruwang menyatakan jumlah yang harus dibayar, mulut ibu itu ternganga kerana terkejut. “Oh, kelihatannya aku perlu mengembalikan beberapa barang. Tetapi semua barang ini adalah untuk parti anak aku.” Dia mengeluh sambil memandang anaknya dengan muka kecewa.
Seorang pelanggan lain yang berdiri di belakangnya memahami kekecewaan ibu itu. Keadaan ini boleh ditemukan dalam kata-kata Yesus kepada Maria yang berasal dari Betania: “Wanita ini melakukan apa yang dapat dilakukannya” (Markus 14:8). Selepas mengurapi-Nya dengan minyak wangi yang mahal sebelum kematian dan pengebumian-Nya, Maria dimarahi oleh para pengikut yang lain. Yesus menegur para pengikut-Nya dengan memuji apa yang dilakukan oleh wanita itu. Dia tidak mengatakan, “Dia telah melakukan semua yang dapat dilakukannya,” melainkan “Dia melakukan apa yang dapat dilakukannya.” Dia bukan memaksudkan minyak wangi yang mahal itu, tetapi yang lebih penting adalah tindakan Maria yang penuh kasih. Hubungan dengan Yesus menggerakkan kita melakukan sesuatu.
Pada saat itu, sebelum ibu itu sempat memberi respons, pelanggan di belakangnya itu maju ke depan dan menyelitkan kad kreditnya pada mesin untuk membayar belian ibu tersebut. Baginya, itu bukanlah perbelanjaan yang besar dan dia ada wang lebihan pada bulan itu. Tetapi bagi ibu tersebut, itulah anugerah yang besar. Satu tindakan yang penuh kasih mengalir pada saat ibu itu memerlukan bantuan.
ILHAM
Akar wangi (Markus 14:3) adalah minyak wangi daripada sejenis akar pokok yang ditanam di Himalaya. Ini menjelaskan kemahalannya—“lebih daripada gaji satu tahun” (ayat 5) atau “harga lebih daripada tiga ratus keping wang perak”. Satu keping wang perak merupakan gaji penuh sehari seorang pekerja.Oleh sebab kewangiannya, ia sering digunakan oleh pengantin pada hari perkahwinannya (Kidung Agung 1:12; 4:13-14), sesetengah cendekiawan percaya bahawa Maria telah memberikan kepunyaannya yang paling berharga—hantaran kahwin peribadinya—kepada Yesus. Pengurapan Maria untuk Yesus dengan minyak wangi mahal adalah tepat pada waktunya dan perlu. Apabila Yesus mati, jenazah-Nya disediakan dengan terburu-buru untuk pengebumian kerana hari Sabat (Markus 15:42-46). Sekumpulan wanita telah merancang untuk pergi ke kubur dan mengurapi mayat-Nya selepas hari Sabat (16:1), tetapi pada masa itu Yesus telah bangkit. Tetapi enam hari sebelumnya (Yohanes 12:1), Maria telah mengurapi Yesus dengan minyak wangi “untuk menyediakan tubuh-Ku bagi [penguburan-Nya] sebelum waktunya” (Markus 14:8).