Setelah menerima panggilan kecemasan, seorang anggota polis dengan segera memandu di sepanjang landasan kereta api, tempat kejadian itu. Dia memasang lampu sorotnya dalam kegelapan sehingga dia melihat sebuah kenderaan terbabas di atas landasan kereta api. Kamera papan pemuka anggota polis menangkap saat kejadian yang mengerikan ketika kereta api bergerak ke arah kereta tersebut. Menurut petugas di situ, kereta api itu bergerak dengan kelajuan 80km hingga 130km per jam. Tanpa teragak-agak, dia sempat menarik seorang lelaki yang tidak sedar diri dari kereta beberapa saat sebelum kereta api itu menghempasnya.
Firman Tuhan mengatakan bahawa Tuhan ialah Peribadi yang menyelamatkan kita. Dia bertindak pada masa yang tepat ketika semuanya kelihatan mustahil. Ketika bangsa Israel menderita penindasan di Mesir, mereka berfikir bahawa tiada jalan keluar lagi. Akan tetapi dalam kitab Keluaran, kita membaca kata-kata Tuhan yang bergema dengan harapan: “Aku telah melihat betapa kejamnya umat-Ku dianiaya di Mesir,” katanya. “Aku telah mendengar seruan mereka … Sesungguhnya, Aku tahu akan segala penderitaan mereka” (3:7). Tuhan tidak hanya melihat, Dia bertindak. “Aku turun untuk membebaskan mereka” (ayat 8). Tuhan memimpin umat Israel keluar daripada perhambaan. Tuhan sendiri yang memulakan penyelamatan.
Penyelamatan Tuhan terhadap Israel menunjukkan hati Tuhan dan kuasa-Nya. Dia datang untuk menyelamatkan kita daripada kebinasaan yang pasti. Walaupun keadaan kita mungkin mengerikan atau kehilangan harapan, kita dapat membuka mata dan hati kita untuk berharap kepada penyelamatan-Nya.