Pemimpin persidangan video kami mengucapkan “Selamat pagi!” Saya membalas dengan ucapan “Helo”, tetapi saya tidak memandang dia. Saya terganggu oleh gambar saya sendiri di skrin. Adakah wajah saya kelihatan seperti ini? Saya melihat wajah orang lain yang sedang tersenyum dalam persidangan itu. Memanglah itu wajah mereka. Jadi ini semestinya saya. Saya nampaknya perlu menurunkan sedikit berat badan dan perlu bergunting rambut.
Raja Mesir berfikir bahawa dia cukup hebat. Dia ialah “singa, … buaya yang berkecimpung di dalam sungai” (Yehezkiel 32:2). Tetapi kemudian dia melihat dirinya dari pandangan Tuhan. Tuhan mengatakan bahawa dia berada dalam bahaya dan Dia akan menghamburkan mayatnya kepada binatang buas, ini akan “mengejutkan banyak bangsa, … raja-raja … akan gementar dan menggigil kerana takut mati” (ayat 10). Raja Mesir ternyata jauh tidak hebat daripada yang disangkanya.
Kita mungkin menganggap diri kita “sempurna secara rohani”—sehinggalah kita melihat dosa kita sebagaimana Tuhan melihatnya. Dibandingkan dengan piawaian-Nya yang kudus, bahkan “perbuatan kami yang terbaik pun kotor dan najis” (Yesaya 64:6). Tetapi Tuhan melihat sesuatu yang lain, sesuatu yang lebih benar: Dia melihat Yesus, dan Dia melihat kita dalam Yesus.
Adakah anda berputus asa terhadap keadaan anda? Ingatlah, ini bukan tentang siapa diri anda. Sekiranya anda telah mempercayai Yesus, maka anda berada dalam Yesus, dan kekudusan-Nya melingkupi anda. Anda lebih indah daripada apa yang anda bayangkan.