Pada usia tuanya, pemikiran Puan Goodrich menjadi tidak menentu, dan ingatannya terhadap masa lampau yang penuh cabaran dan rahmat dalam kehidupannya semakin pudar. Ketika dia duduk di tepi tingkap menghadap ke perairan Teluk Grand Traverse, Michigan, dia mengambil buku notanya. Tidak lama lagi dia tidak akan mengenal tulisan sendiri. Walau bagaimanapun dia masih menulis: “Kini aku duduk di kerusi kegemaranku dengan kaki di atas ambang tingkap, dan hatiku ria gembira. Ombak-ombak berkejaran di lautan di bawah sinaran matahari. Bapa yang di syurga, aku bersyukur atas kasih dan pemberian-Mu yang tidak terhitung! Semua ini sentiasa membuat aku kagum. Aku sangat mengasihi-Mu walaupun aku tidak melihat-Mu.”
Rasul Petrus mengakui kehebatan Tuhan. Dia telah melihat Yesus dengan matanya sendiri, tetapi orang yang akan membaca surat yang ditulis oleh Petrus tidak pernah melihat-Nya. “Kamu percaya kepada-Nya meskipun sekarang kamu tidak melihat Dia. Oleh itu, kegembiraan yang kamu alami itu sungguh besar, mulia, dan tidak terkata” (1 Petrus 1:8). Kita mengasihi Yesus bukan kerana kita diperintahkan untuk berbuat demikian, tetapi disebabkan oleh pertolongan Roh Kristus (ayat 11) kita mula melihat betapa Dia mengasihi kita.
Kita bukan sahaja mengetahui bahawa Dia mengambil berat tentang orang seperti kita, malahan kita sendiri boleh mengalami keajaiban hadirat-Nya dan Roh-Nya yang tidak kelihatan secara nyata pada setiap tahap kehidupan, seperti yang dijanjikan Kristus.