Setelah meninggalkan gereja lama kami selama 3 tahun, saya dan suami kembali menghadiri persekutuan di situ. Tetapi saya tertanya-tanya, bagaimanakah mereka akan melayan kami? Adakah mereka akan menyambut kami kembali? Adakah mereka mengasihi kami? Adakah mereka akan memaafkan kami kerana meninggalkan gereja? Kami mendapat jawapannya pada suatu pagi Ahad yang cerah. Semasa melalui pintu utama gereja, kami terus mendengar nama kami dipanggil. “Pat! Dan! Bagusnya dapat jumpa kamu berdua!” Seperti yang telah ditulis oleh Kate DiCamillo, seorang pengarang buku kanak-kanak dalam salah satu buku popularnya, “Para pembaca, tiada yang lebih indah di dunia yang menyedihkan ini selain mendengar suara orang yang kamu kasihi memanggil nama kamu.”

Kenyataan yang sama ini juga berlaku bagi umat Israel. Kami telah memilih gereja lain pada satu ketika dahulu, tetapi mereka telah meninggalkan Tuhan. Akan tetapi Dia menyambut mereka kembali. Dia mengutus nabi Yesaya untuk meyakinkan mereka, “Janganlah takut! Aku akan menyelamatkan kamu. Aku telah memanggil kamu dengan nama kamu, kamu milik-Ku” (Yesaya 43:1).

Di dunia ini, kehadiran kita seolah-olah tidak disedari, tidak dihargai, bahkan tidak diketahui. Namun yakinlah bahawa Tuhan mengenal setiap nama kita. Dia berjanji, “kamu berharga bagi-Ku” (ayat 4). “Apabila kamu menyeberangi laut yang dalam, Aku akan menyertai kamu; kamu tidak akan tenggelam dalam kesusahan” (ayat 2). Janji ini bukan hanya untuk umat Israel. Yesus menebus kita dengan nyawa-Nya. Dia mengenal nama kita. Kenapa? Kerana dalam kasih, kita adalah milik-Nya.