Ibu saya komited dalam banyak hal sepanjang hayatnya. Salah satunya adalah melihat anak-anak kecil mengenal Yesus. Beberapa kali saya pernah menyaksikan ibu saya tidak bersetuju ketika seseorang cuba memotong bajet pelayanan kanak-kanak kerana menganggapnya kurang “penting”. “Saya hanya bercuti pada satu musim panas ketika mengandungkan adik lelaki kamu,” kata ibu kepada saya. Saya menyedari bahawa ibu saya telah terlibat dalam pelayanan kanak-kanak di gereja selama 55 tahun.
Markus 10 mencatatkan satu kisah yang menarik dalam kitab Injil yang bertajuk “Yesus Memberkati Kanak-Kanak.” Orang membawa kanak-kanak kepada Yesus supaya Dia menumpangkan tangan-Nya dan memberkati mereka. Tetapi para pengikut-Nya menghalang perkara ini. Markus mencatatkan bahawa Yesus “marah” dan menegur para pengikut-Nya: “Biarlah kanak-kanak itu datang kepada-Ku! Jangan larang mereka, kerana orang seperti inilah yang menikmati Pemerintahan Allah” (ayat 14).
Charles Dickens menulis, “Aku suka anak-anak kecil. Apabila kehidupan muda yang dikurniakan Tuhan ini mengasihi kita, itulah hal yang sangat berharga bagi kita.” Ini juga penting apabila kita orang dewasa melakukan apa yang kita mampu untuk memastikan anak-anak kecil tidak akan terhalang daripada menerima kasih Yesus.
ILHAM
Dalam Markus 10:16, kita membaca bahawa Yesus ”memeluk semua kanak-kanak di situ ... dan memberkati mereka” Perkataan yang digunakan di sini bagi “memberkati” ialah “kateulogeo”. Ia hanya muncul dalam petikan ini dalam Perjanjian Baru dan bererti “untuk memberkati dengan bersungguh-sungguh; untuk memberi apa yang bermanfaat.” Berkat Yesus adalah besar. Dia hanya mahukan yang terbaik untuk kanak-kanak ini.Dalam beberapa bahagian Alkitab, Yesus menggambarkan orang yang “diberkati” (makarios). Perkataan ini bererti “menyatakan seseorang diberkati; menerima perkenan Tuhan.” Setelah Petrus mengakui bahawa Yesus adalah “Anak Allah Yang Hidup,” Yesus memberitahunya “berbahagialah” dia (Matius 16:16-17). Perkataan yang sama ini telah digunakan apabila Tomas mengenal Yesus yang dibangkit sebagai “Tuhan” dan “[Allahnya]”. Yesus memberitahu dia bahawa “berbahagialah” orang yang tidak pernah melihat malah percaya kepada Dia (Yohanes 20:28-29). Dalam petikan-petikan ini “diberkati” bermakna menerima perkenan Tuhan kerana mempercayai Yesus.