Presiden Amerika Syarikat, Franklin D. Roosevelt sering menyambut deretan tetamu yang panjang di Rumah Putih. Seperti yang dikisahkan, dia bersungut kerana tiada orang memberi perhatian tentang apa yang dikatakannya. Maka dia cuba membuat satu eksperimen dalam satu jamuan. Kepada semua orang yang lalu dan bersalam dengannya, dia berkata, “Aku baru bunuh nenekku pagi tadi.” Para tetamu membalas dengan kata-kata seperti, “Hebat! Terus berusaha lagi. Tuhan berkati kamu, tuan.” Hanya seorang tetamu yang berada di akhir barisan, seorang duta dari Bolivia, benar-benar mendengar kata-katanya. Dengan terkejut dan bingung, duta itu membisikkan, “Saya pasti dia yang cari pasal dulu.”

Pernahkah anda tertanya-tanya jika orang benar-benar mendengar apa yang anda katakan? Atau lebih teruk lagi, adakah anda takut bahawa Tuhan tidak mendengar doa anda? Kita dapat mengetahui sama ada seseorang itu mendengar berdasarkan reaksi atau pandangan mereka. Tetapi bagaimana kita tahu jika Tuhan sedang mendengar? Adakah kita perlu bergantung kepada perasaan? Atau melihat sama ada Tuhan menjawab doa kita?

Setelah dalam pembuangan selama 70 tahun di Babilonia, Tuhan berjanji untuk membawa umat-Nya kembali ke Yerusalem dan menjanjikan masa hadapan mereka yang makmur (Yeremia 29:10–11). Ketika mereka memanggil-Nya, Dia mendengarkan mereka (ayat 12). Mereka tahu bahawa Tuhan mendengar doa mereka kerana Dia berjanji untuk berbuat demikian, begitu juga halnya bagi kita (1 Yohanes 5:14). Kita tidak perlu bergantung kepada perasaan atau menunggu tanda untuk mengetahui bahawa Tuhan mendengarkan kita. Dia berjanji untuk mendengarkan kita dan menepati semua janji-Nya (2 Korintus 1:20).