Majalah BBC Music Magazine meminta 151 orang pemimpin orkestra yang terkemuka di dunia untuk menyenaraikan 20 simfoni yang dipercayai mereka sebagai gubahan muzik terhebat yang pernah ditulis. Hasilnya Eroica, iaitu Simfoni No. 3 karya Beethoven muncul di tangga teratas. Karya tersebut dengan tajuk yang bererti ‘‘gagah berani” digubah semasa kemelut Revolusi Perancis. Akan tetapi, gubahan ini juga lahir daripada pergelutan Beethoven sendiri apabila pendengarannya mulai hilang secara perlahan-lahan. Muzik tersebut membangkitkan pelbagai perubahan emosi yang mengungkapkan erti sebagai seorang manusia dan hidup menghadapi pelbagai cabaran. Melalui nada muzik yang mendadak daripada kebahagiaan, kesedihan dan akhirnya kemenangan, Simfoni No. 3 karya Beethoven dianggap sebagai penghargaan abadi bagi semangat seorang manusia.
Surat pertama Paulus kepada orang Korintus patut mendapat perhatian kita atas sebab yang sama. Walaupun bukannya dengan not muzik tetapi melalui kata-kata yang diilhamkan, nada penulisan Paulus mula-mula menaik tentang berkat Tuhan (1:4-9), nadanya menurun dalam kesedihan akibat konflik yang menghancurkan jiwa (11:17-22), dan menaik semula kerana mencapai keharmonian—kita telah diberikan kurnia rohani demi kebaikan sesama dan kemuliaan Tuhan (12:6-7).
Perbezaannya, kita melihat kemenangan semangat manusia sebagai penghargaan kepada Roh Tuhan. Sementara Paulus mendorong kita bersama-sama mengalami kasih Kristus yang tidak terperikan, dia juga membantu kita mengetahui bahawa kita telah dipanggil bersama oleh Bapa kita, dipimpin oleh Anak-Nya dan diilhamkan oleh Roh-Nya—bukan untuk menimbulkan kebisingan, melainkan turut menyertai simfoni yang terhebat.
ILHAM
Perkataan Yunani ekklesia, terjemahan bagi “gereja,” bererti “perhimpunan,” satu “umat yang terpanggil” yang berkumpul bersama-sama. Perkataan itu digunakan untuk menghuraikan “umat Allah” (1 Petrus 2:9-10). Paulus menggunakan banyak ibarat berlainan untuk menghuraikan gereja, termasuk keluarga Tuhan (Efesus 2:19; 3:15; 1 Timotius 3:15), kawanan “domba” Tuhan (Kisah Rasul-Rasul 20:28; 1 Petrus 5:2), dan pengantin perempuan Kristus (Efesus 5:22-32). Tetapi “tubuh Kristus” merupakan ibarat kegemaran Paulus (Roma 12:4-5; 1 Korintus 6:15; 10:17; Efesus 1:22-23; 4:4, 12; 5:23, 30; Kolose 1:18, 24).Jemaah di Korintus terpecah belah. Sebahagian orang percaya mengagung-agungkan kurnia-kurnia tertentu (misalnya, berbicara dalam bahasa lidah). Mereka percaya orang yang tidak memiliki kurnia tersebut bukan anggota jemaah. Paulus menyatakan kesalahan itu dalam 1 Korintus 12–14. Dia menggunakan metafora tubuh untuk mendorong kesatuan dan keharmonian. Seperti tubuh manusia, terdiri daripada bahagian yang berlainan, tetapi semua bahagian harus berfungsi dalam kesatuan.