Pada tahun 2019, taufan Dorian melanda pulau-pulau Bahamas dengan hujan lebat, angin dan banjir yang teruk. Bencana alam tersebut merupakan yang paling dahsyat dalam sejarah negara itu. Ketika Brent berlindung di rumah dengan anak dewasanya yang menghidap palsi serebrum, dia tahu bahawa mereka perlu beredar dari situ. Walaupun Brent buta, dia perlu menyelamatkan anaknya. Dengan penuh kasih sayang, dia menggendong anaknya dan melangkah ke dalam air yang telah sampai ke paras dagu untuk membawanya ke tempat yang selamat.

Jika bapa di bumi yang mengalami cabaran besar pun berazam membantu anaknya, apatah lagi Bapa kita yang di syurga, Dia yang mempedulikan anak-anak-Nya. Dalam Perjanjian Lama, Musa mengimbas kembali bagaimana Tuhan memimpin umat-Nya walaupun pada waktu iman mereka goyah. Dia mengingatkan orang Israel bagaimana Tuhan telah menyelamatkan mereka, menyediakan makanan dan air walaupun di gurun, melawan musuh mereka, serta memimpin orang Israel dengan tiang awan dan tiang api. Apabila merenungkan banyak perbuatan Tuhan demi mereka, Musa berkata, “Kamu sudah melihat cara Dia memimpin kamu dengan selamat di sepanjang perjalanan ke tempat ini, seperti seorang bapa menggendong anaknya” (Ulangan 1:31).

Perjalanan orang Israel melalui padang gurun bukanlah mudah, dan kadang-kadang iman mereka menjadi lemah. Namun begitu, Tuhan tetap memberikan perlindungan dan memenuhi keperluan mereka. Imej seorang bapa menggendong anaknya—dengan kasih sayang, berani dan yakin—merupakan gambaran yang indah tentang penjagaan Tuhan terhadap Israel. Walaupun kita menghadapi cabaran yang menguji iman, kita harus ingat bahawa Tuhan ada di sana untuk menggendong kita melaluinya.