Majalah BBC Music Magazine meminta 151 orang pemimpin orkestra yang terkemuka di dunia untuk menyenaraikan 20 simfoni yang dipercayai mereka sebagai gubahan muzik terhebat yang pernah ditulis. Hasilnya Eroica, iaitu Simfoni No. 3 karya Beethoven muncul di tangga teratas. Karya tersebut dengan tajuk yang bererti ‘‘gagah berani” digubah semasa kemelut Revolusi Perancis. Akan tetapi, gubahan ini juga lahir daripada pergelutan Beethoven sendiri apabila pendengarannya mulai hilang secara perlahan-lahan. Muzik tersebut membangkitkan pelbagai perubahan emosi yang mengungkapkan erti sebagai seorang manusia dan hidup menghadapi pelbagai cabaran. Melalui nada muzik yang mendadak daripada kebahagiaan, kesedihan dan akhirnya kemenangan, Simfoni No. 3 karya Beethoven dianggap sebagai penghargaan abadi bagi semangat seorang manusia.

Surat pertama Paulus kepada orang Korintus patut mendapat perhatian kita atas sebab yang sama. Walaupun bukannya dengan not muzik tetapi melalui kata-kata yang diilhamkan, nada penulisan Paulus mula-mula menaik tentang berkat Tuhan (1:4-9), nadanya menurun dalam kesedihan akibat konflik yang menghancurkan jiwa (11:17-22), dan menaik semula kerana mencapai keharmonian—kita telah diberikan kurnia rohani demi kebaikan sesama dan kemuliaan Tuhan (12:6-7).

Perbezaannya, kita melihat kemenangan semangat manusia sebagai penghargaan kepada Roh Tuhan. Sementara Paulus mendorong kita bersama-sama mengalami kasih Kristus yang tidak terperikan, dia juga membantu kita mengetahui bahawa kita telah dipanggil bersama oleh Bapa kita, dipimpin oleh Anak-Nya dan diilhamkan oleh Roh-Nya—bukan untuk menimbulkan kebisingan, melainkan turut menyertai simfoni yang terhebat.