Lara dan Dave sangat menginginkan anak, tetapi doktor memberitahu mereka bahawa mereka tidak boleh mendapatkannya. Lara menceritakan hal itu kepada rakannya: “Aku telah beberapa kali berbual dengan sangat jujur dengan Tuhan.” Namun hal ini sebenarnya terjadi selepas salah satu “perbualan” dengan pastor mereka, yang memberitahu mereka tentang pelayanan pengambilan anak angkat di gereja mereka. Setahun kemudian, mereka menjadi ibu bapa angkat bagi seorang bayi lelaki.
Dalam Kejadian 15, Alkitab menceritakan satu lagi perbualan jujur—antara Abram dengan Tuhan. Tuhan berfirman kepadanya, “Jangan takut, Abram. Aku … memberikan pahala yang besar kepadamu” (AYAT 1). Tetapi Abram, yang kurang pasti dengan janji-janji Tuhan tentang masa depannya, menjawab dengan terus terang: “Ya TUHAN Raja, apakah gunanya pahala itu bagiku kerana aku tidak mempunyai anak?” (AYAT 2).
Sebelum ini, Tuhan telah berjanji kepada Abram, “Sebagaimana debu di tanah tidak dapat dihitung, demikian juga keturunanmu tidak akan dapat dihitung” (13:16). Sekarang Abram dengan terang-terang mengingatkan Tuhan tentang janji itu. Namun, perhatikan jawapan Tuhan: Dia meyakinkan Abram dengan memberitahu Abram untuk memandang ke langit dan “hitunglah bintang-bintang, jika engkau dapat menghitungnya,” ini menunjukkan bahawa keturunannya tidak akan terhitung (15:5, TB).
Betapa baiknya Tuhan, bukan sahaja mengizinkan kita berdoa secara terus terang, tetapi Dia juga meyakinkan Abram dengan lemah lembut! Kemudian, Tuhan menukarkan namanya kepada Abraham (“bapa sejumlah besar bangsa”). Seperti Abraham, saya dan anda boleh berkongsi isi hati kita secara terbuka dengan-Nya dan tahu bahawa kita boleh mempercayai-Nya untuk melakukan apa yang terbaik untuk kita dan orang lain.