Dalam satu babak filem Amadeus, seorang komposer yang sudah uzur bernama Antonio Salieri telah memainkan beberapa gubahan muziknya dengan piano untuk paderi yang datang berkunjung. Paderi itu dengan segan mengakui bahawa dia tidak mengenal lagu tersebut. “Bagaimana pula yang ini?” Salieri bertanya sambil memainkan melodi yang dikenali ramai. “Saya tidak tahu kamu yang menggubah muzik ini,” kata paderi itu. “Bukan saya,” Salieri menjawab. “Itu karya Mozart!” Seperti yang diketahui penonton, kejayaan Mozart telah menimbulkan perasaan iri hati yang amat sangat dalam hati Salieri—sehingga dia mengambil bahagian dalam kematian Mozart.

Dalam cerita lain, sebuah kisah tentang iri hati juga telah timbul disebabkan oleh sebuah lagu. Setelah Daud mengalahkan Goliat, orang Israel dengan sepenuh hati menyanyikan, “Raja Saul membunuh beribu-ribu orang musuh, tetapi Daud membunuh berpuluh-puluh ribu orang musuh” (1 Samuel 18:7). Raja Saul rasa tersinggung oleh perbandingan tersebut. Oleh sebab iri hatinya terhadap kejayaan Daud dan takut akan kehilangan takhtanya (AYAT 8-9), Saul berusaha untuk memburu dan membunuh Daud.

Seperti Salieri berasa iri hati terhadap bakat muzik orang lain atau Saul terhadap kuasa, kita biasanya tergoda untuk berasa iri hati terhadap mereka yang mempunyai kurnia yang serupa tetapi lebih cemerlang daripada kita. Akibatnya, sama ada kita mencari kesalahan hasil kerja mereka atau melecehkan kejayaan mereka, kita juga cenderung merosakkan nama “pesaing” kita.

Saul telah dipilih oleh Tuhan sebagai raja (10:6-7, 24), status yang seharusnya menghasilkan keyakinan diri, bukannya iri hati. Memandangkan kita juga masing-masing mempunyai panggilan yang unik (Efesus 2:10), mungkin cara terbaik untuk mengatasi perasaan iri hati adalah berhenti membandingkan diri kita sendiri dengan orang lain. Sebaliknya, marilah kita meraikan kejayaan satu sama lain.