Air mata mengalir di pipi saya semasa saya mencari-cari cincin perkahwinan dan cincin ulang tahun saya seperti hendak gila. Setelah sejam mengangkat kusyen sofa dan menggeledah setiap sudut dan celah rumah kami, Suami saya Alan berkata, “Jangan sedih. Kita akan menggantikannya.”

“Terima kasih,” saya membalas. “Namun nilai sentimental cincin-cincin tersebut melebihi nilai kebendaannya. Cincin-cincin itu tidak dapat diganti.” Sambil berdoa, saya terus mencari barang kemas tersebut. “Ya Tuhan, bantulah aku carinya.”

Tidak lama kemudian, ketika memasukkan tangan ke dalam saku baju sejuk yang dipakai pada awal minggu tersebut, saya menemukan barang kemas yang sangat berharga itu. “Terima kasih, Yesus!” saya berteriak. Bersukacitalah saya dan suami saya. Sambil menyarungkan cincin-cincin tersebut, saya teringat kembali perumpamaan tentang wanita yang kehilangan wang (Lukas 15:8-10). Seperti wanita yang mencari mata wangnya yang hilang dengan teliti, saya tahu betapa bernilainya sesuatu yang sudah hilang. Kami masing-masing tidak salah kerana ingin mencari barang berharga kami. Yesus menggunakan cerita itu semata-mata untuk menekankan keinginan-Nya agar menyelamatkan setiap orang yang telah dicipta-Nya. Seluruh syurga akan meraikan kegembiraan bagi setiap orang berdosa yang bertaubat,.

Menjadi seseorang yang tekun mendoakan orang lain adalah satu berkat besar, seperti kita berdoa untuk menemukan harta benda yang hilang. Betapa istimewanya dapat meraikan seseorang yang bertaubat dan menyerahkan hidupnya kepada Kristus. Jika kita menaruh kepercayaan kita dalam Yesus, kita boleh bersyukur dan mengalami sukacita kerana dikasihi oleh Tuhan yang tidak pernah berputus asa terhadap kita kerana Dia menganggap kita amat berharga.