Bekalan makanan yang terhad, kasut but kalis air dan peta merupakan beberapa barang yang penting untuk dibawa oleh para pengembara di Denai John Muir. Denai John Muir ialah runut sejauh 340 kilometer di barat Amerika Syarikat yang melintasi anak sungai, tasik, hutan dan gunung yang setinggi 14,326 meter. Disebabkan perjalanan memakan masa sekitar 3 minggu, maka membawa jumlah bekalan yang tepat adalah penting. Terlalu banyak bekalan semasa perjalanan akan membuat anda kehabisan tenaga untuk memikulnya, namun terlalu sedikit pula tidak akan mencukupi.
Menyelesaikan perjalanan hidup dengan baik sebagai orang yang percaya kepada Yesus juga memerlukan pertimbangan yang teliti mengenai apa yang kita bawa. Dalam Ibrani 12, kita dinasihati untuk “[membuang] segala halangan yang menghalang kita dan dosa yang berpaut pada kita.” Pengarang kitab Ibrani membandingkan kehidupan kita dengan “perlumbaan di hadapan kita,” dan kita “janganlah berkecil hati dan putus asa” (ayat 1, 3). Kita memikul beban yang sia-sia sekiranya kita masih dibebani oleh dosa atau terganggu oleh hal-hal yang bukan tujuan Tuhan bagi kita.
Seperti bekalan-bekalan yang diperlukan untuk mengembara di Denai John Muir, Tuhan telah memberi kita petunjuk untuk mengikut Yesus dalam Alkitab. Kita dapat mengetahui kelakuan, impian dan keinginan yang patut kita miliki berdasarkan kebenaran dalam Alkitab. Apabila kita mengembara perjalanan hidup dengan bekalan yang ringan, kita dapat mengakhirinya dengan baik.