Pelari Olimpik Ryan Hall ialah pemegang rekod Amerika Syarikat bagi acara separuh maraton. Dia menamatkan acara larian berjarak 21 kilometer dalam masa yang luar biasa iaitu 59 minit dan 43 saat. Dia menjadi atlet pertama di Amerika Syarikat yang menghabiskan perlumbaan dalam masa kurang daripada 1 jam. Hall meraikan kemenangannya yang mencatatkan rekod baru tetapi pada masa yang sama, dia juga pernah berasa kecewa kerana gagal menamatkan perlumbaan itu sebelumnya.
Setelah merasai kejayaan dan kegagalan, Hall percaya bahawa hanya imannya kepada Yesus yang menolongnya selama ini. Salah satu ayat Alkitab kegemarannya ialah Amsal 24:16, “Walaupun orang jujur jatuh berkali-kali, mereka akan bangun semula”, satu peringatan yang memberi dorongan. Ayat ini mengingatkan kita bahawa orang percaya yang mempunyai hubungan benar dengan Tuhan, tentu mengalami kesukaran dalam hidup. Tetapi apabila mereka terus mencari Tuhan walaupun di tengah-tengah kesukaran, Tuhan setia memberi mereka kekuatan untuk bangun semula.
Adakah anda baru-baru ini mengalami kekecewaan atau kegagalan yang dahsyat dan berasa seperti anda tidak akan pulih? Alkitab mendorong kita supaya tidak bergantung pada kekuatan kita tetapi terus menaruh kepercayaan kepada Tuhan dan janji-janji-Nya. Ketika kita mempercayai Dia, Roh Tuhan memberi kekuatan dalam setiap kesukaran yang kita hadapi, daripada kesukaran yang biasa-biasa hingga yang serius (2 Korintus 12:9).
ILHAM
Kitab Amsal 24:15-18 mengandungi dua “pepatah”—Pepatah 27 (ayat 15-16) dan Pepatah 28 (ayat 17-18)—daripada koleksi 30 pepatah yang dihasilkan oleh “orang bijak,” (22:17-24:22). Amaran dalam Pepatah 27 tentang menyerang orang jujur melakarkan tema utama dalam kitab Amsal: dosa dan kejahatan yang membinasakan diri. Oleh sebab Tuhan telah menyelitkan hikmat dan kebaikan dalam kehidupan yang nyata, hidup orang jujur bermaksud dia hidup sesuai dengan rancangan Tuhan. Sebaliknya, memilih kejahatan bermaksud berjalan melawan rancangan Tuhan yang pasti berakhir dengan kebinasaan sendiri.Oleh itu, Pepatah 27 menyatakan bahawa usaha untuk menghapus orang jujur bagaikan usaha yang sia-sia. Walaupun orang jujur menderita untuk sementara waktu, akhirnya kejahatan akan dikalahkan. “Walaupun orang jujur jatuh berkali-kali, mereka akan bangun semula” (ayat 16).