Cuthbert ialah seorang tokoh yang sangat digemari di utara England. Selain memberitakan Injil di sebahagian besar kawasan pada abad ke-7, Cuthbert juga menjadi penasihat raja dan berpengaruh dalam urusan negara. Setelah kematiannya, kota Durham dibina untuk mengenangnya. Tetapi teladan Cuthbert yang ditinggalkan adalah lebih hebat berbanding semua ini.

Setelah wabak melanda wilayah itu, Cuthbert pernah menjelajah ke kota-kota yang terjejas untuk menenangkan para penduduk. Sewaktu meninggalkan sebuah perkampungan, dia memerhatikan jika terdapat orang yang ingin didoakan. Di situ ada seorang wanita yang sedang memeluk anak kecil. Dia telah kehilangan seorang anak lelaki, dan anak yang dalam pelukannya juga hampir mati. Cuthbert memeluk anak itu lalu mendoakan dia dan mencium dahinya. “Jangan takut,” katanya kepada wanita itu, “kerana tiada seorang lagi dalam keluarga kamu akan mati.” Kemudian anak itu dilaporkan terselamat daripada wabak itu.

Yesus pernah memeluk seorang anak kecil untuk memberi pelajaran tentang siapa yang terbesar. Dia berkata, “Sesiapa yang menyambut kanak-kanak seperti ini kerana Aku, menyambut Aku” (Markus 9:37). “Menyambut” seseorang dalam budaya Yahudi bermaksud melayani mereka, seperti tuan rumah menyambut tetamunya. Pada zaman itu, kanak-kanak harus melayani orang dewasa dan bukan sebaliknya. Maka, idea Yesus pasti mengejutkan banyak pihak. Apakah sebenarnya yang ditekankan oleh Yesus? Kebesaran sejati adalah melayani yang terkecil dan terhina (ayat 35).

Seorang kaunselor kepada raja. Berpengaruh dalam sejarah. Kota dibina untuk mengenangnya. Tetapi mungkin kerajaan syurga mencatatkan teladan Cuthbert seperti ini: Memberi perhatian kepada seorang ibu. Mencium dahi anak kecil. Hidup dengan rendah hati yang mencerminkan Tuannya.