Ada beberapa gambar yang sangat memukau sehingga tidak dapat dilupakan. Itulah pengalaman saya ketika saya melihat foto terkenal tentang mendiang Diana, Puteri Wales. Pada pandangan pertama, semuanya kelihatan biasa, Puteri Diana tersenyum mesra dan berjabat tangan dengan lelaki yang tidak dikenali. Tetapi kisah di sebalik foto itu menjadikannya luar biasa.
Pada 19 April 1987, ketika Puteri Diana mengunjungi Hospital Middlesex di London, seluruh rakyat United Kingdom dilanda kepanikan disebabkan wabak AIDS. Pada masa itu, oleh sebab tidak mengetahui bagaimana penularan wabak ini dapat meragut nyawa dengan begitu cepat, orang awam sering menghina pesakit AIDS sebagai golongan yang paling rendah kelasnya.
Jadi, ini merupakan saat yang menakjubkan ketika Puteri Diana tersenyum tulus dan secara tenang berjabat tangan dengan seorang pesakit AIDS tanpa memakai sarung tangan. Gambar yang menunjukkan kehormatan dan kebaikan hati itu menggerakkan dunia untuk turut memperlakukan pesakit AIDS dengan belas kasihan dan empati.
Foto itu mengingatkan saya tentang sesuatu yang sering saya lupa, iaitu menawarkan kasih Yesus kepada orang lain dengan rela dan murah hati adalah sangat bermakna. Yohanes mengingatkan orang Kristian zaman awal bahawa jika mereka tidak mengasihi atau takut untuk mengasihi orang, sebenarnya mereka masih “dikuasai kematian” (1 Yohanes 3:14). Untuk mengasihi orang dengan rela tanpa rasa takut serta dipenuhi dan dikuatkan oleh kasih Kristus yang menyerahkan hidup-Nya untuk kita, kita sendiri harus mengalami hidup yang kelimpahan dalam Kristus (ayat 14, 16).