Dia menghempaskan pintu. Dia menghempaskan pintu sekali lagi. Saya pun pergi ke garaj, mengambil tukul dan pemutar skru, lalu pergi ke bilik anak perempuan saya. Dengan tenang saya berbisik, “Sayang, kamu harus belajar untuk menahan marah.” Kemudian saya menanggalkan pintu biliknya dan membawa pintu itu ke garaj. Saya berharap agar pintu yang ditanggalkan sementara itu dapat membantunya mengingati kepentingan tentang pengawalan diri.
Dalam Amsal 3:11-12, seorang yang bijak mengajak pembaca untuk menerima disiplin Tuhan. Perkataan disiplin boleh diterjemahkan sebagai “pembetulan.” Sebagai Bapa yang baik dan penuh kasih, Tuhan berbicara melalui Roh-Nya dan Alkitab untuk memperbaiki tingkah laku manusia yang membinasakan diri. Disiplin Tuhan melibatkan hubungan kita dengan-Nya—berakarkan kasih dan kehendak-Nya tentang apa yang terbaik untuk kita. Kadangkala ia kelihatan seperti akibat daripada kesalahan kita. Kadangkala Tuhan memakai seseorang untuk menunjukkan kejahilan kita. Biasanya, disiplin Tuhan adalah menyakitkan tetapi ini merupakan anugerah-Nya.
Kita tidak selalu mentafsir disiplin Tuhan seperti ini. Orang yang bijak itu memberi amaran, “Jangan tolak ajaran-Nya” (ayat 11). Kadangkala kita takut akan disiplin Tuhan. Pada masa lain, kita salah mentafsirkan perkara buruk dalam hidup kita sebagai disiplin Tuhan. Ini bukanlah isi hati Bapa yang penuh kasih. Dia mendisiplinkan kita kerana Dia mengasihi dan ingin membetulkan kita.
Semoga kita belajar untuk menerima disiplin Tuhan, bukan menolaknya. Apabila kita mendengar suara Tuhan untuk membetulkan kita dalam hati atau menyedari kesalahan kita ketika membaca Alkitab, marilah kita bersyukur kepada Tuhan. Hal ini menyenangkan hati-Nya kerana Dia melihat kita sebagai anak-anak-Nya dan ingin memimpin kita ke jalan yang terbaik.