Dari jambatan buatan manusia di Eleuthera, sebuah pulau kecil Caribbean, para pengunjung dapat mengagumi perbezaan antara perairan biru gelap di Atlantik dan perairan berwarna firus yang tenang di Laut Caribbean. Dari semasa ke semasa, hujan ribut telah menghakis jalur asal tanah yang dahulunya ditandai lengkungan batu semula jadi. Jambatan kaca yang kini berfungsi sebagai tarikan pelancong di Eleuthera, dikenali sebagai “tempat yang paling sempit di dunia.”
Alkitab menggambarkan jalan yang menuju kehidupan kekal adalah sempit, “hanya sedikit orang yang mendapati jalan itu” (Matius 7:14). Pintu dianggap kecil kerana Anak Tuhan adalah satu-satunya jambatan yang dapat mendamaikan manusia yang jatuh dalam dosa dengan Bapa melalui kuasa Roh Kudus (ayat 13-14; lihat Yohanes 10: 7-9; 16:13). Tetapi Alkitab juga mengatakan bahawa orang percaya daripada setiap bangsa dan peringkat masyarakat dapat memasuki syurga, dan akan bersujud di hadapan Raja segala raja serta bersama-sama menyembah Dia yang duduk di atas takhta (Wahyu 5:9). Gambaran yang menunjukkan kontras dan kesatuan yang luar biasa ini merangkumi kepelbagaian semua umat Tuhan.
Walaupun dosa memisahkan kita daripada Tuhan, setiap orang yang diciptakan Tuhan dipanggil untuk masuk ke dalam kehidupan kekal di syurga. Kita boleh memperolehnya dengan menempuh jalan perdamaian yang sempit ini melalui hubungan peribadi dengan Kristus. Pengorbanan Yesus di kayu salib, kebangkitan-Nya dari kubur dan kenaikan-Nya ke syurga adalah Berita Baik yang boleh ditemui oleh semua orang serta patut dikongsi setiap hari.