“Cepatlah datang. Kami telah terlanggar ais apung.” Itulah kata-kata pertama yang didengar oleh Harold Cottam, operator wayarles di kapal RMS Carpathia, daripada kapal RMS Titanic yang sedang tenggelam pada jam 12:25 pagi, 15 April 1912. Carpathia ialah kapal pertama sampai di tempat kecelakaan dan menyelamatkan 706 nyawa.

Dalam perbicaraan Dewan Senat Amerika Syarikat beberapa hari kemudian, kapten Carpathia iaitu Arthur Rostron memberi kesaksian, “Semuanya benar-benar berlaku secara kebetulan … operator wayarles berada di kabinnya tetapi tidak bekerja pada masa itu, dia terdengar mesej itu ketika dia sedang menukar pakaian … Dalam masa 10 minit mungkin dia sudah tidur, dan kami tidak akan dapat mendengar pesanannya.”

Mendengar itu penting—terutama mendengarkan Tuhan. Para penulis Mazmur 85, iaitu puak Korah, mendorong kita supaya mentaati Tuhan sepenuhnya, “Aku mendengar apa yang difirmankan TUHAN Allah; Dia menjanjikan kesejahteraan kepada kita, umat-Nya, jika kita tidak kembali berbuat dosa. Pasti Dia akan menyelamatkan orang yang menghormati Dia” (ayat 9-10). Amaran ini begitu memilukan kerana nenek moyang mereka daripada puak Korah telah memberontak Tuhan dan binasa di padang gurun (Bilangan 16:1-35).

Pada malam kapal Titanic tenggelam, terdapat sebuah kapal lain yang berhampiran tetapi operator wayarles itu telah tidur. Sekiranya dia mendengar isyarat kecemasan, mungkin lebih ramai nyawa dapat diselamatkan. Ketika kita mendengarkan Tuhan dengan mentaati ajaran-Nya, Dia akan menolong kita menghadapi badai kehidupan kita.