“Aku tidak faham rancangan Tuhan. Aku menyerahkan seluruh hidupku kepada-Nya. Tetapi ini pula yang berlaku!” Demikian kata-kata seorang anak lelaki kepada ibunya ketika impiannya untuk menjadi atlet profesional yang berjaya tertangguh buat sementara waktu. Siapakah antara kita tidak mempunyai pengalaman yang di luar jangkaan dan mengecewakan, yang membuat fikiran kita dipenuhi persoalan? Misalnya, anggota keluarga memutuskan hubungan tanpa penjelasan; kemerosotan kesihatan; perpindahan syarikat secara tiba-tiba; atau kemalangan yang mengubah hidup.
Ayub 1-2 mencatat serangkaian tragedi dan rintangan dalam kehidupan Ayub. Dari perspektif manusia, jika ada sesiapa yang berhak untuk hidup bebas daripada masalah, Ayub ialah orangnya. “Dia seorang yang baik budi, yang selalu berhati-hati agar tidak melakukan perbuatan jahat” (Ayub 1:1). Tetapi hidup tidak selalu berjalan seperti yang kita inginkan, bahkan bukan untuk Ayub, mahupun kita. Ketika isterinya menasihatinya, “Kutuklah Allah, dan matilah!” (Ayub 2:9), kata-kata Ayub kepada isterinya adalah bijaksana, membantu dan sesuai untuk setiap orang ketika berlaku sesuatu perkara besar atau kecil—yang kita tidak ingin hadapi. “ ’Apabila Allah memberikan yang baik, kita menerimanya. Kita juga patut menerima yang tidak baik’ Walaupun Ayub menderita, dia tidak mengucapkan kata-kata yang menentang Allah” (ayat 10).
Dengan kekuatan Tuhan, semoga kita tetap percaya, takut dan hormat kepada Dia walaupun kita tidak memahami bagaimana Dia bekerja pada masa kesukaran hidup kita.
ILHAM
Dalam Kitab Ayub, Ayub dan rakan-rakannya membincangkan punca-punca di sebalik perkara baik dan buruk yang terjadi ke atas kita semua. Sebahagian daripada kesimpulan itu adalah Tuhan yang berkuasa ke atas segala-galanya adalah lebih besar daripada cara yang kita guna untuk mengenal Dia. Akhirnya, Tuhan menegaskan kepada Ayub bahawa Dia sendiri yang bertanggungjawab ke atas peristiwa-peristiwa dalam hidup manusia. Dalam Ayub 38:1–39:35, Tuhan menunjukkan bahawa kuasa dan hikmat-Nya sahaja yang mengatur seluruh alam semesta ini, bukannya Ayub.Ayub seolah-olah mengetahui ini ketika dia bertanya kepada isterinya, “Apabila Allah memberikan yang baik, kita menerimanya. Kita juga patut menerima yang tidak baik” (2:10). Walaupun para pembaca mengetahui bahawa Tuhan mengizinkan Iblis untuk mengganggu Ayub (ayat 3-6), Ayub sendiri melihat kesusahannya berasal daripada Tuhan (ayat 10). Peristiwa-peristiwa tertentu dalam hidup kita mungkin ada punca yang langsung, tetapi semuanya tetap di bawah kedaulatan-Nya.