“Aku tidak faham rancangan Tuhan. Aku menyerahkan seluruh hidupku kepada-Nya. Tetapi ini pula yang berlaku!” Demikian kata-kata seorang anak lelaki kepada ibunya ketika impiannya untuk menjadi atlet profesional yang berjaya tertangguh buat sementara waktu. Siapakah antara kita tidak mempunyai pengalaman yang di luar jangkaan dan mengecewakan, yang membuat fikiran kita dipenuhi persoalan? Misalnya, anggota keluarga memutuskan hubungan tanpa penjelasan; kemerosotan kesihatan; perpindahan syarikat secara tiba-tiba; atau kemalangan yang mengubah hidup.

Ayub 1-2 mencatat serangkaian tragedi dan rintangan dalam kehidupan Ayub. Dari perspektif manusia, jika ada sesiapa yang berhak untuk hidup bebas daripada masalah, Ayub ialah orangnya. “Dia seorang yang baik budi, yang selalu berhati-hati agar tidak melakukan perbuatan jahat” (Ayub 1:1). Tetapi hidup tidak selalu berjalan seperti yang kita inginkan, bahkan bukan untuk Ayub, mahupun kita. Ketika isterinya menasihatinya, “Kutuklah Allah, dan matilah!” (Ayub 2:9), kata-kata Ayub kepada isterinya adalah bijaksana, membantu dan sesuai untuk setiap orang ketika berlaku sesuatu perkara besar atau kecil—yang kita tidak ingin hadapi. “ ’Apabila Allah memberikan yang baik, kita menerimanya. Kita juga patut menerima yang tidak baik’ Walaupun Ayub menderita, dia tidak mengucapkan kata-kata yang menentang Allah” (ayat 10).

Dengan kekuatan Tuhan, semoga kita tetap percaya, takut dan hormat kepada Dia walaupun kita tidak memahami bagaimana Dia bekerja pada masa kesukaran hidup kita.