Bunyi kedengaran seperti mercun telah membuat Joanne terjaga. Tingkap kacanya berkecai. Dia pun bangun untuk melihat apa yang telah berlaku, dengan harapan bahawa ada seseorang boleh menemaninya pada saat itu. Dia mendapati keadaan rumahnya baik-baik sahaja, tetapi kemudian dia ternampak tingkap yang pecah.
Polis menemukan satu peluru bersaiz setengah inci yang hampir menembusi paip gas. Sekiranya peluru terkena pada paip gas itu, dia mungkin tidak hidup lagi. Kemudian mereka mendapati bahawa tembakan peluru itu dilepaskan dari pangsapuri berdekatan. Joanne kini takut berada di rumahnya dan berdoa untuk kedamaian hati. Setelah serpihan kaca dibersihkan, hatinya mulai tenang.
Mazmur 121 adalah peringatan bagi kita untuk mencari Tuhan pada masa kesusahan. Melalui firman ini, kita dapat melihat bahawa kita boleh memperoleh kedamaian dan ketenangan kerana “Pertolongan [kita] datang daripada TUHAN, yang menjadikan langit dan bumi” (ayat 2). Tuhan yang menciptakan alam semesta akan menolong dan menjaga kita (ayat 3). Walaupun semasa kita tidur, Dia sendiri “tidak pernah terlelap ataupun tertidur” (ayat 4). Dia memperhatikan kita siang dan malam (ayat 6), “sekarang hingga selama-lamanya” (ayat 8).
Tidak kira apa pun keadaan yang kita hadapi, Tuhan melihat. Dia menunggu kita untuk kembali kepada-Nya. Apabila kita berbuat demikian, walaupun keadaan kita mungkin akan tetap sama, tetapi Dia menjanjikan kedamaian-Nya di tengah-tengah keadaan itu.
ILHAM
3 kali dalam setahun, semua orang lelaki Israel harus datang ke Rumah Tuhan di Yerusalem untuk merayakan 3 perayaan kebangsaan tahunan (Ulangan 16:16); Perayaan Paska (Roti Tidak Beragi), Perayaan Menuai (Tujuh Minggu), dan Perayaan Pondok Daun. Ketika penziarah melewati perjalanan yang bergunung-ganang ke Yerusalem, mereka menyanyikan satu koleksi yang mengandungi 15 lagu yang dikenali sebagai “Nyanyian Ziarah.”Mazmur 121, dikenali sebagai “Nyanyian Ziarah” merupakan doa untuk belas kasihan perjalanan, menyatakan kerisauan tentang keselamatan dan perlindungan ketika kita menggembara dalam perjalanan hidup ini. Mazmur ini memfokuskan kata kerja Ibrani šāmar, diterjemahkan kepada pelindung/melindungi (ayat 3, 4, 5, 7, 8) atau menjaga (ayat 7), bermakna “untuk memelihara, mengawal, menjaga dengan cermat.” Bahkan ketika pemazmur itu menyebut bahaya yang tidak diketahui, dia dengan yakin mengatakan bahawa Tuhan—Penolong kita (ayat 1-3) dan Pelindung kita (ayat 4-8)—akan terus-menerus menjaga kita.