Bunyi kedengaran seperti mercun telah membuat Joanne terjaga. Tingkap kacanya berkecai. Dia pun bangun untuk melihat apa yang telah berlaku, dengan harapan bahawa ada seseorang boleh menemaninya pada saat itu. Dia mendapati keadaan rumahnya baik-baik sahaja, tetapi kemudian dia ternampak tingkap yang pecah.

Polis menemukan satu peluru bersaiz setengah inci yang hampir menembusi paip gas. Sekiranya peluru terkena pada paip gas itu, dia mungkin tidak hidup lagi. Kemudian mereka mendapati bahawa tembakan peluru itu dilepaskan dari pangsapuri berdekatan. Joanne kini takut berada di rumahnya dan berdoa untuk kedamaian hati. Setelah serpihan kaca dibersihkan, hatinya mulai tenang.

Mazmur 121 adalah peringatan bagi kita untuk mencari Tuhan pada masa kesusahan. Melalui firman ini, kita dapat melihat bahawa kita boleh memperoleh kedamaian dan ketenangan kerana “Pertolongan [kita] datang daripada TUHAN, yang menjadikan langit dan bumi” (ayat 2). Tuhan yang menciptakan alam semesta akan menolong dan menjaga kita (ayat 3). Walaupun semasa kita tidur, Dia sendiri “tidak pernah terlelap ataupun tertidur” (ayat 4). Dia memperhatikan kita siang dan malam (ayat 6), “sekarang hingga selama-lamanya” (ayat 8).

Tidak kira apa pun keadaan yang kita hadapi, Tuhan melihat. Dia menunggu kita untuk kembali kepada-Nya. Apabila kita berbuat demikian, walaupun keadaan kita mungkin akan tetap sama, tetapi Dia menjanjikan kedamaian-Nya di tengah-tengah keadaan itu.