Pada saat Anita meninggal dalam tidurnya sempena hari ulang tahunnya yang ke-90, pemergiannya yang tenang mencerminkan ketenangan hidupnya. Dia seorang balu yang berdedikasi terhadap anak-anak dan cucu-cucunya, serta menjadi rakan kepada wanita-wanita muda di gerejanya.
Anita tidak memiliki bakat atau pencapaian yang hebat. Tetapi imannya yang kuat kepada Tuhan memberikan inspirasi kepada orang yang mengenalnya. Seorang rakan saya berkata, “Pada saat saya bermasalah dan tidak tahu apa yang harus dilakukan, saya tidak memikirkan kata-kata pengkhutbah atau penulis terkenal. Saya terfikir tentang apa yang akan dikatakan oleh Anita.”
Ramai antara kita seperti Anita, orang biasa yang menjalani kehidupan biasa. Nama kita tidak pernah muncul dalam berita, dan tiada tugu peringatan bagi kita. Tetapi hidup yang beriman kepada Yesus tidak pernah menjadi perkara yang biasa-biasa. Terdapat sebilangan orang yang tersenarai dalam Ibrani 11 tetapi tidak disebutkan namanya (ayat 35-38); mereka tidak dikenali dan tidak menerima pahala daripada Tuhan dalam kehidupan ini (ayat 39). Tetapi oleh sebab mereka mentaati Tuhan, iman mereka tidak sia-sia. Tuhan memakai kehidupan mereka walaupun mereka tidak dikenali (ayat 40).
Sekiranya anda berasa kecewa dengan keadaan anda yang biasa-biasa, ingatlah bahawa hidup yang beriman dalam Tuhan mempunyai kesan yang kekal. Meskipun kita cuma orang yang biasa-biasa, kita boleh memiliki iman yang luar biasa.