Rob membesar tanpa bapa. Hal ini membuat dia berasa kehilangan banyak kemahiran praktikal yang biasanya diturunkan oleh bapa kepada anak-anak mereka. Oleh sebab Rob menginginkan orang memiliki kemahiran hidup yang penting, maka dia memulakan siri video praktikal yang dipanggil “Bapa, Macam Mana?” Video ini menunjukkan hampir semua kemahiran hidup, daripada cara memasang rak hingga cara menukar tayar kereta. Disebabkan gaya persembahan video yang cergas dan mesra, Rob menjadi sensasi di YouTube dan mendapat jutaan langganan.

Ramai antara kita ingin sekali orang tua kita mengajar kita bagaimana mengharungi situasi yang sukar. Musa memerlukan hikmat ketika dia dan orang Israel dibebaskan daripada perhambaan di Mesir dan membentuk satu bangsa sendiri. Yitro, bapa mentuanya melihat Musa sedang menanggung tekanan besar ketika perlu menyelesaikan masalah seluruh rakyat. Maka Yitro memberi nasihat kepada Musa cara untuk mengagihkan tanggungjawab dalam kepemimpinan (Keluaran 18:17-23). “Musa mengikut nasihat Yitro” (ayat 24).

Tuhan tahu kita memerlukan hikmat. Mungkin ada yang diberkati dengan ibu bapa yang salih serta memberi nasihat yang bijak, dan mungkin ada yang tidak. Tetapi hikmat Tuhan tersedia bagi semua yang meminta (Yakobus 1:5). Dia juga memberikan hikmat melalui Alkitab yang mengingatkan kita bahawa apabila kita dengan rendah hati dan tulus mendengar nasihat orang yang berhikmat, kita “akan menjadi bijaksana kelak” (Amsal 19:20) dan dapat berkongsi hikmat ini dengan orang lain.