Semasa tercetusnya pandemik Covid-19, ramai orang Singapura duduk di rumah untuk mengelakkan jangkitan. Tetapi saya tetap meneruskan aktiviti renang dan percaya aktiviti ini selamat.

Bagaimanapun, isteri saya bimbang saya akan mendapat jangkitan dari kolam renang awam dan menjangkiti ibunya yang sudah tua, sedangkan warga tua lebih terdedah kepada virus ini. “Bolehkah kamu berhenti berenang untuk seketika, demi saya?” tanya isteri saya.

Pada mulanya saya ingin membantah bahawa cuma terdapat sedikit risiko. Kemudian saya sedar bahawa perkara ini kurang penting berbanding perasaannya. Mengapa pula saya berkeras untuk berenang jika ia bukan perkara mustahak dan hanya membimbangkan isteri saya?

Dalam Roma 14, Paulus menangani isu jika orang Kristian boleh makan makanan atau meraikan perayaan tertentu. Dia bimbang ada beberapa orang memaksakan pandangan mereka kepada orang lain.

Paulus mengingatkan jemaah di Roma dan kita, bahawa orang-orang percaya mungkin melihat situasi dari sudut pandangan yang berbeza. Kita juga mempunyai latar belakang berlainan yang membentuk sikap dan amalan kita. Dia menulis, “Oleh itu janganlah kita salahkan satu sama lain. Sebaliknya kamu harus mengambil keputusan untuk tidak berbuat apa-apa yang menyebabkan saudara kamu tergoda dan berdosa” (Roma 14:13).

Kasih kurnia Tuhan memberi kita kebebasan dan menolong kita menyatakan kasih-Nya kepada orang seiman. Kita boleh menggunakan kebebasan ini untuk lebih mengutamakan keperluan rohani orang lain daripada menekankan peraturan dan amalan yang kita yakin tidak bercanggah dengan kebenaran penting dalam Injil (ayat 20).