“Anjing ini akan hidup, tetapi kakinya perlu dipotong!” kata doktor haiwan.” Anjing sesat yang dibawa oleh rakan saya telah dilanggar oleh sebuah kereta. “Adakah kamu pemilik anjing ini?” Pembedahan akan menelan perbelanjaan besar dan anak anjing itu memerlukan jagaan selepas pembedahan. “Akulah pemiliknya sekarang,” jawab rakan saya. Sikap baik hatinya telah memberikan tempat perlindungan yang disertai kasih sayang kepada anjing itu.

Mefiboset mengibaratkan dirinya seperti “anjing mati” yang tidak bernilai (2 Samuel 9:8). Kedua-dua kakinya menjadi lumpuh akibat kemalangan dan dia perlu bergantung kepada orang lain untuk mendapatkan perlindungan dan bekalan (4:4). Tambahan pula, selepas kematian datuknya, iaitu Raja Saul, Mefiboset mungkin takut bahawa Daud sebagai raja yang baharu, akan membunuh semua musuh dan sesiapa yang menjadi ancaman bagi takhta seperti kebiasaan pada zaman itu.

Oleh sebab kasih Daud untuk sahabatnya Yonatan, dia memastikan anak lelaki Yonatan, iaitu Mefiboset akan sentiasa selamat dan dijaga seperti anaknya sendiri (9:7). Dengan cara yang sama, kita yang dahulunya musuh Tuhan dan sepatutnya mati, telah diselamatkan oleh Yesus dan duduk bersama-sama Yesus di syurga selamanya. Itulah maksudnya makan di jamuan Pemerintahan Tuhan yang dihuraikan oleh Lukas dalam Injilnya (Lukas 14:15). Inilah keistimewaan kita sebagai anak-anak Raja! Betapa besar dan berlimpahnya kasih yang kita terima! Marilah kita menghampiri Dia dengan kesyukuran dan sukacita.