“Tak fahamlah ni!” Anak perempuan saya menghempaskan penselnya di meja. Dia sedang membuat tugasan Matematik, dan saya baru sahaja memulakan “pekerjaan” sebagai ibu/guru di rumah. Kami menghadapi masalah. Saya sudah lupa apa yang saya pelajari 35 tahun yang lalu tentang menukar perpuluhan kepada pecahan. Oleh sebab saya tidak dapat mengajarnya hal yang saya tidak tahu, maka kami menonton guru dalam talian untuk mendapatkan penerangannya.

Sebagai manusia, sekali-sekala kita bergelut dengan hal yang kita tidak tahu atau tidak faham. Tetapi Tuhan bukan seperti itu; Dia Tuhan Yang Maha Tahu. Yesaya menulis, “Siapakah dapat mengarahkan TUHAN, dan siapakah dapat mengajar dan menasihatkan Dia? Dengan siapakah Dia berunding supaya mendapat pengetahuan dan pengertian?” (Yesaya 40:13-14). Jawapannya? Tiada seorang pun!

Manusia mempunyai pengetahuan kerana Tuhan menciptakan kita menurut gambaran-Nya. Akan tetapi pengetahuan kita cuma setitik daripadanya. Pengetahuan kita terbatas, tetapi Tuhan mengetahui segalanya dari permulaan sampai penghabisan (Mazmur 147:5). Pengetahuan kita semakin bertambah dengan bantuan teknologi, tetapi kita masih melakukan kesilapan. Bagaimanapun, Yesus mengetahui semua perkara “dengan segera, lekas, menyeluruh dan benar,” seperti yang dikatakan oleh seorang ahli teologi.

Tidak kira berapa banyak pengetahuan yang diperoleh manusia, kita tidak akan melepasi Kristus Yang Maha Tahu. Kita akan selalu memerlukan-Nya untuk membantu kita mengerti sesuatu serta mengajar kita apa yang baik dan benar.