Pada awal abad ke-19, Thomas Carlyle memberikan sebuah manuskrip kepada ahli falsafah John Stuart Mill untuk diperiksa semula. Mungkin disebabkan oleh kecuaian atau disengajakan, manuskrip tersebut terbakar. Itu satu-satunya manuskrip Carlyle. Namun dia tidak serik dan tetap menulis semula bab-bab yang terbakar. Api tidak dapat menghentikan dia menulis manuskrip yang masih segar dalam fikirannya. Melalui peristiwa itu, Carlyle menghasilkan karya agungnya, The French Revolution (Revolusi Perancis).

Pada hari-hari terakhir kerajaan Yehuda yang semakin keruntuhan akhlak, Tuhan memberitahu nabi Yeremia, “Ambillah sebuah naskhah gulungan, dan tulislah di situ segala yang telah Kufirmankan kepada engkau” (Yeremia 36:2). Mesej itu menyatakan isi hati Tuhan yang berbelas kasihan, malah Dia memanggil umat-Nya bertaubat demi mengelakkan pencerobohan musuh yang menjelang (ayat 3).

Yeremia melakukan seperti yang diberitahu Tuhan. Naskhah gulungan tersebut kemudian dibacakan kepada raja Yehuda, iaitu Yoyakim. Namun raja itu pula mengoyak-ngoyakkannya dan membuangnya ke dalam api (ayat 23-25). Tindakan raja itu hanya memburukkan lagi keadaan. Kemudian Tuhan memberitahu Yeremia menulis satu lagi gulungan dengan mesej yang sama. Dia berkata, “Hai Raja Yoyakim, bahawa tiada seorang pun daripada keturunanmu akan memerintah kerajaan Daud. Mayatmu akan dibuang ke luar sehingga terjemur pada waktu siang dan terkena embun pada waktu malam” (ayat 30).

Orang boleh membuang Alkitab yang mengandungi kata-kata Tuhan ke dalam api. Tetapi usaha ini adalah sia-sia kerana firman Tuhan akan kekal selamanya.