Selepas kematian ibu saya secara tiba-tiba, saya terdorong untuk menulis blog. Saya mahu menulis jurnal yang dapat memberi inspirasi kepada orang lain agar mereka menggunakan detik-detik dalam hidup mereka untuk melakukan perkara yang bermakna. Maka saya mencari panduan untuk penulis blog baru. Saya mempelajari jenis platform yang perlu digunakan, cara memilih tajuk, dan cara menulis artikel yang menarik. Pada tahun 2016, blog pertama saya dilahirkan.

Paulus menulis “panduan hidup” yang menjelaskan bagaimana kita boleh mendapat hidup yang kekal. Dalam Roma 6:16-18, dia membandingkan fakta bahawa semua orang telah memberontak terhadap Tuhan sejak lahir (orang berdosa) dengan kebenaran bahawa Yesus dapat menolong kita menjadi orang yang “dibebaskan daripada dosa” (ayat 18). Seterusnya Paulus menghuraikan perbezaan antara hamba dosa dan hamba kepada kehendak Tuhan, serta hidup yang diberikan-Nya (ayat 19-20). Dia meneruskan dengan menyatakan bahawa “Kematian adalah upah dosa, tetapi hidup sejati dan kekal bersama-sama Kristus Yesus Tuhan kita adalah anugerah Allah” (ayat 23). Kematian bermaksud perpisahan daripada Tuhan selamanya. Inilah akibat yang dahsyat yang kita akan hadapi jika kita menolak Kristus. Tetapi Tuhan telah memberi kita hadiah dalam Yesus—hidup yang baru. Inilah jenis kehidupan yang bermula di bumi dan berterusan selamanya di syurga bersama-sama Tuhan.

Panduan bagi hidup kekal yang ditulis oleh Paulus untuk orang percaya baru memberi kita 2 pilihan—memilih dosa yang membawa kematian, atau memilih anugerah Yesus yang membawa kehidupan kekal. Semoga anda memilih pemberian-Nya, iaitu kehidupan kekal. Jika anda sudah menerima Kristus, semoga anda berkongsi hadiah ini dengan orang lain pada hari ini!