Selama 30 tahun, seorang wanita Amerika yang berkulit hitam bekerja dengan setia di sebuah pelayanan global yang besar. Tetapi ketika dia berusaha untuk bercakap dengan rakan-rakan sekerja tentang ketidakadilan kaum, mereka hanya berdiam sahaja. Akhirnya, pada musim bunga tahun 2020, apabila perbincangan mengenai isu perkauman berleluasa di serata dunia, rakan-rakan sekerjanya “mula mengadakan dialog terbuka.” Dengan perasaan bercampur baur dan perih, dia bersyukur tetapi juga hairan mengapa rakan sekerjanya mengambil masa begitu lama untuk mula berdialog tentang hal itu.

Berdiam diri adalah baik dalam situasi tertentu. Seperti yang ditulis oleh Raja Salomo dalam Pengkhutbah, “Segala sesuatu di dunia ini berlaku pada waktu yang ditentukan Allah … waktu untuk berdiam diri dan waktu untuk bertutur” (Pengkhutbah 3:1,7).

Bagaimanapun, berdiam diri dalam keadaan yang penuh diskriminasi dan ketidakadilan hanya akan mengakibatkan kemudaratan dan luka. Seorang pastor Luteran, iaitu Martin Niemoeller (dipenjarakan oleh Nazi Jerman kerana menyuarakan bantahan) membuat pengakuan dalam puisi yang ditulisnya selepas perang. “Mula-mula mereka memburu orang Komunis, tetapi aku tidak bersuara kerana aku bukan seorang Komunis.” Dia menambah, “Kemudian mereka memburu” orang Yahudi, Katolik dan lain-lain, “tetapi aku tidak bersuara.” Akhirnya, “mereka memburu aku … dan pada waktu itu, tiada sesiapa dapat bersuara lagi.”

Keberanian dan kasih diperlukan untuk bersuara menentang ketidakadilan. Bagaimanapun, dengan pertolongan Tuhan, kita sedar bahawa sekarang adalah masa untuk bersuara.