Ketika saya masih remaja, ibu saya melukis mural di dinding ruang tamu rumah kami yang masih kekal di situ selama beberapa tahun. Gambaran itu ialah pemandangan kuno Yunani mengenai sebuah kuil yang musnah dengan tiang putih yang tumbang di sisinya, air pancut yang runtuh dan patung yang patah. Semasa saya melihat seni bina Yunani kuno yang dahulunya begitu indah, saya cuba membayangkan apa yang menghancurkannya. Saya ingin tahu, terutama apabila saya mula belajar tentang tragedi yang telah menimpa tamadun yang hebat dan makmur sebelumnya, tetapi akhirnya terjejas dan termusnah oleh dosa manusia.
Dosa dan kerosakan yang berleluasa di sekeliling kita boleh sahaja mengganggu kita. Jadi, dengan mudahnya kita menuding jari kepada orang dan bangsa yang menolak Tuhan. Tetapi bukankah kita patut menyelami diri kita juga? Alkitab memberikan amaran tentang kemunafikan apabila kita menyeru orang lain bertaubat tanpa memeriksa hati kita sendiri (Matius 7:1-5).
Mazmur 32 mencabar kita melihat dan mengakui dosa kita sendiri. Hanya apabila kita sendiri sedar dan mengakui dosa, barulah kita dapat dibebaskan daripada rasa bersalah dan mengalami sukacita daripada pertaubatan sejati (ayat 1-5). Ketika kita bersukacita kerana mengetahui bahawa Tuhan menawarkan pengampunan sempurna kepada kita, kita dapat berkongsi harapan itu dengan orang lain yang juga sedang bergelut dalam dosa.