Dalam karya klasiknya yang bertajuk Knowing God (Mengenal Tuhan), J. I. Packer (1926-2020) membicarakan 4 orang Kristian yang terkenal sebagai “penggali Alkitab.” Walaupun mereka bukan cendekiawan yang terlatih, tetapi setiap mereka berusaha untuk mengenal Tuhan dengan mendalami Alkitab seperti seekor beaver menggali dan menggerogot pokok. Packer juga menyatakan bahawa mengenal Tuhan melalui pembelajaran Alkitab bukan terhad kepada cendekiawan sahaja. “Seorang pembaca Alkitab yang biasa dan pendengar khutbah yang dikuasai oleh Roh Kudus, akan lebih mengenal Tuhan dan Penyelamatnya secara mendalam daripada ahli teologi yang berpuas hati dengan ketepatan teologinya.”

Sedihnya, bukan semua orang yang mengkaji Alkitab melakukannya dengan rendah hati untuk lebih mengenal Penyelamat dan menjadi seperti Dia. Pada zaman Yesus, ada orang membaca Perjanjian Lama tetapi mereka tidak mengenal Tuhan yang tertulis dalamnya. “Kamu menyelidiki Alkitab kerana menyangka bahawa dengan cara itu kamu akan beroleh hidup sejati dan kekal. Sebenarnya Alkitab memberikan kesaksian tentang Aku. Tetapi kamu tidak mahu datang kepada-Ku supaya beroleh hidup sejati” (Yohanes 5:39-40).

Adakah kadangkala anda berasa bingung semasa membaca Alkitab? Atau adakah anda sudah berhenti membaca Alkitab sama sekali? Penggali Alkitab bukan semata-mata pembaca Alkitab. Mereka berdoa dan menghayati firman Tuhan dengan membuka mata dan hati mereka untuk melihat serta mengasihi Yesus—Tuhan yang dinyatakan dalamnya.