Teksi beroda tiga di Sri Lanka yang dipanggil “Tuk Tuk” merupakan pengangkutan yang membawa kemudahan dan keseronokan bagi ramai orang. Lorraine, seorang penduduk di ibu kota Colombo menyedari bahawa kenderaan ini juga merupakan tempat untuk berkongsi Injil. Pada suatu hari sewaktu menaiki Tuk Tuk, dia mendapati pemandunya ramah dan ceria, malah mereka dapat berbual-bual tentang agama. Dia memberitahu dirinya lain kali dia akan bercakap tentang Berita Baik kepada pemandu itu.

Kitab Roma dimulakan dengan pernyataan Paulus bahawa dia “dipanggil oleh Allah, untuk mengisytiharkan Berita Baik daripada Allah” (Roma 1:1). Perkataan Yunani untuk “Berita Baik” (atau Injil) ialah “evangelion.” Paulus pada dasarnya sedang berkata bahawa panggilan hidupnya adalah untuk menyampaikan Berita Baik daripada Tuhan.

Apakah Berita Baik ini? Roma 1:3 berkata bahawa Injil Tuhan ialah tentang “Anak Allah.” Berita Baik itu ialah Yesus! Tuhan ingin memberitahu dunia bahawa Yesus datang untuk menyelamatkan kita daripada dosa dan kematian, dan Dia telah memilih kita untuk menjadi saluran komunikasi-Nya. Inilah fakta yang sungguh menakjubkan!

Menyampaikan Berita Baik ialah tanggungjawab yang diberikan kepada semua orang percaya. Kita telah menerima anugerah untuk membawa orang lain percaya kepada-Nya (ayat 5-6). Tuhan telah memanggil kita membawa Berita Baik kepada orang di sekeliling kita, sama ada di Tuk Tuk atau di mana sahaja kita berada. Semoga kita, seperti Lorraine, mencari peluang dalam kehidupan harian kita untuk menyampaikan Berita Baik, iaitu Yesus kepada orang lain.