“Jadi, maksud kamu, ini mungkin bukan salah aku.” Kata-kata wanita itu membuat saya hairan. Sebagai pengkhutbah undangan di gerejanya, kami membincangkan apa yang saya telah sampaikan pada pagi itu. “Aku menghidapi penyakit kronik,” jelasnya. “Aku sudah berdoa, berpuasa, mengakui dosa-dosa, malah melakukan segala yang diberitahukan supaya aku sembuh. Tetapi aku masih sakit, jadi aku fikir semuanya salahku.”
Saya sedih kerana kata-kata wanita itu. Dia telah diberikan “formula” rohani untuk menyelesaikan masalahnya, dan dia telah menyalahkan dirinya sendiri apabila formula itu tidak berkesan. Lebih teruk lagi, pendekatan formula ini kepada isu penderitaan terbukti salah sejak zaman yang lalu.
Ringkasnya, formula lama ini mengatakan bahawa jika anda menderita, itu bererti anda telah berdosa. Ketika Ayub kehilangan ternakan, anak-anak dan kesihatannya secara tragis, sahabat-sahabatnya menggunakan formula ini ke atasnya. Elifas berkata, “Fikirlah, pernahkah orang yang tidak bersalah ditimpa bencana dan celaka?” Dia mengesyaki Ayub bersalah (Ayub 4:7). Bildad bahkan memberitahu Ayub bahawa anak-anaknya mati kerana mereka telah berdosa (8:4). Rakan-rakan Ayub jahil tentang sebab sebenar malapetaka yang menimpa Ayub (1:6-2:10), lalu menyayat hati Ayub dengan memberikan beberapa alasan tentang kesengsaraannya, namun mereka kemudian ditegur oleh Tuhan (42:7).
Penderitaan adalah sebahagian daripada dunia yang berdosa ini. Seperti Ayub, ia boleh berlaku atas pelbagai sebab yang kita tidak ketahui. Tetapi Tuhan ada rancangan untuk penderitaan yang anda alami. Jangan putus asa apabila orang lain sewenang-wenangnya memberi pelbagai sebab di sebalik penderitaan anda.