Semasa saya melayani dalam pasukan penjagaan jemaah (care team) di gereja, salah satu tugas saya adalah mendoakan permohonan yang ditulis pada kad doa yang tersedia di tempat duduk semasa ibadat. Bahan-bahan doa ini termasuklah berdoa untuk kesihatan seorang ibu, masalah kewangan pasangan suami isteri, serta berdoa agar seorang cucu mengenal Tuhan. Jarang sekali saya mendengar hasil doa-doa ini. Kebanyakan kad permohonan doa tidak ditulis namanya, dan saya tidak tahu jawapan Tuhan ke atas doa-doa yang telah dipanjatkan. Saya mengakui bahawa ada masanya saya tertanya-tanya, Adakah Dia benar-benar mendengar? Adakah sesuatu telah berlaku hasil daripada doa-doa saya?
Sepanjang hayat kita, kebanyakan kita bertanya, “Adakah Tuhan mendengar doaku?” Saya teringat tentang doa saya sendiri, seperti doa Hana untuk mendapat seorang anak yang tidak terjawab selama bertahun-tahun. Saya juga pernah berdoa agar bapa saya percaya kepada Kristus, tetapi dia meninggal tanpa menerima Yesus.
Namun, dari awal abad sehingga sekarang, banyak bukti yang nyata memberitahu kita bahawa Tuhan tunduk untuk mendengar doa umat-Nya: keluhan orang Israel semasa perhambaan (Keluaran 2:24); Musa di Gunung Sinai (Ulangan 9:19); Yosua di Gilgal (Yosua 10:14); Hana menginginkan seorang anak (1 Samuel 1:10-17); Daud yang berseru agar terlepas daripada pemburuan Saul (2 Samuel 22:7).
1 Yohanes 5:14 bergema, “Kita yakin bahawa Dia mengabulkan doa kita, jika kita memohon apa sahaja yang sesuai dengan kehendak-Nya.” Perkataan ‘mengabulkan’ bermaksud memberi perhatian dan respons selepas mendengar.
Ketika kita datang kepada Tuhan hari ini, semoga kita memiliki keyakinan bahawa Dia mendengar seruan umat-Nya sepanjang zaman. Dia mendengar permohonan doa kita.